KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Jemaah Menteri hari ini bersetuju menubuhkan sebuah Pusat Arahan Komunikasi berkait dengan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bagi menyelaras tindakan dan langkah kerajaan terhadap krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata pusat berkenaan akan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dengan sesi taklimat atau siaran media diadakan setiap hari sekitar 4 petang.
“Pusat ini akan menyelaras komunikasi bagi pihak kerajaan khusus berkait respons dan langkah yang diambil oleh kerajaan dan badan-badan berkaitan bagi memastikan perkembangan terkini disampaikan secara konsisten kepada rakyat,” katanya pada sidang media mingguan di sini, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata Jemaah Menteri turut membincangkan langkah susulan bagi menangani kesan ekonomi daripada perkembangan semasa di peringkat global.
Beliau berkata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir akan bertemu dengan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Kewangan dan Ekonomi bagi membentangkan pandangan serta ikhtiar kerajaan.
“Ia untuk menyampaikan pandangan dan juga ikhtiar kerajaan yang telah dirangka setakat ini khusus berkait isu-isu ekonomi dan kewangan akibat daripada apa yang sedang berlaku di Asia Barat dan kesan kepada ekonomi negara akibat daripada krisis tenaga global,” katanya.
Sementara itu, Fahmi berkata semua mesyuarat Sidang Kemuncak ASEAN tahun ini di Filipina akan diadakan secara dalam talian tanpa sebarang pertemuan fizikal, kecuali melibatkan ketua-ketua kerajaan.
Beliau berkata antara mesyuarat terawal dalam kerangka Sidang Kemuncak ASEAN adalah melibatkan Menteri-Menteri Kesihatan yang akan diadakan secara dalam talian.
-- BERNAMA
