AM

KSN AKAN TELITI USAHA TAMBAH BAIK PERMOHONAN LESEN, KURANGKAN BIROKRASI - FAHMI 

01/04/2026 06:38 PM

KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar akan meneliti dan melaporkan kepada Jemaah Menteri usaha-usaha penambahbaikan dalam permohonan lesen perniagaan terutama sektor yang terjejas dengan krisis tenaga global.

Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil berkata Jemaah Menteri telah meneliti kesan isu permohonan lesen perniagaan melibatkan koordinasi pelbagai agensi, jabatan dan kementerian yang dikenal pasti mengambil masa terlalu lama serta tidak munasabah.

“Bagi maksud ini, Ketua Setiausaha Negara telah diarahkan untuk meneliti dan seterusnya melaporkan kepada Jemaah Menteri usaha-usaha untuk mengurangkan kerenah birokrasi terutama bagi industri, sektor ataupun perniagaan yang juga mungkin terkesan akibat daripada krisis tenaga global.

“Proses yang mungkin selama ini telah memakan masa yang terlalu lama ataupun tidak munasabah, perlu diteliti semula, diperkemas dan dipermudah,” katanya pada sidang media mingguan di sini hari ini. 

Fahmi, yang juga Menteri Komunikasi, berkata Jemaah Menteri turut menerima taklimat terkini daripada Shamsul Azri mengenai perincian dasar bekerja dari rumah bagi sektor awam.

Beliau berkata pelaksanaan dasar itu kini di peringkat akhir penelitian sebelum pengumuman rasmi dibuat dalam masa terdekat.

"Pelaksanaan bagi sektor awam ini bukan hanya tertumpu di Putrajaya malah fasa pertama akan melibatkan sejumlah kawasan.

"Untuk maklumat lanjut, Tan Sri Ketua Setiausaha Negara akan umumkan dan bersekali dengan maklumat terperinci bagi perkhidmatan awam," katanya.

Bagi sektor swasta pula, Fahmi berkata kerajaan menggalakkan majikan meneliti aspek kesesuaian pelaksanaan dasar yang sama di organisasi masing-masing.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan