AM

KTMB CATAT LONJAKAN 102 PERATUS PENUMPANG SEMPENA AIDILFITRI

01/04/2026 06:34 PM

KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) merekodkan lonjakan sehingga 102 peratus dalam perkhidmatan penumpangnya sempena Aidilfitri bagi tempoh 17 hingga 29 Mac, sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai tulang belakang mobiliti rakyat.

Dalam kenyataan hari ini, KTMB memaklumkan perkhidmatan tren elektrik (ETS) mencatatkan 292,033 penumpang, meningkat 109 peratus berbanding tahun lepas. 

“Lonjakan ini mencerminkan kepercayaan berterusan pengguna terhadap ETS sebagai pilihan utama bagi perjalanan jarak jauh yang lebih pantas, selesa dan efisien khususnya dalam menghadapi peningkatan trafik semasa musim perayaan.

“Selain itu, perkhidmatan Intercity, iaitu Ekspres Rakyat Timuran (ERT) pula mencatatkan jumlah penumpang seramai 20,969 berbanding 14,039 penumpang pada 2025, menunjukkan peningkatan sebanyak 49 peratus,” menurut kenyataan itu. 

KTMB turut memaklumkan tren Ekspres Lambaian Aidilfitri (ELA) merekodkan 1,671 penumpang melalui enam perkhidmatan bagi laluan Pantai Timur dan Utara sepanjang tempoh tersebut.

Menurut kenyataan itu,  keupayaan operasi tahun ini diperkukuh melalui penggunaan sepenuhnya set tren ETS3 baharu yang meningkatkan kapasiti tempat duduk serta kecekapan operasi.

“KTMB juga memperkenalkan perkhidmatan EMU Plus khususnya bagi laluan KL Sentral - Ipoh, sekali gus membantu mengurangkan tekanan permintaan serta melancarkan aliran penumpang pada waktu puncak,” menurut kenyataan itu. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB Datuk Azlan Shah Al Bakri berkata sebanyak 314,673 tiket berjaya dijual sepanjang tempoh itu, bersamaan kadar 99.99 peratus.

“Ini menunjukkan tahap keyakinan tinggi terhadap perkhidmatan rel sebagai pilihan utama rakyat. Dari aspek operasi, prestasi ketepatan masa ETS meningkat kepada 95 peratus berbanding 94 peratus pada tahun sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata KTMB terus memberi penekanan kepada pemantauan operasi masa nyata, penyelenggaraan aset dan langkah mitigasi bagi memastikan perkhidmatan kekal stabil ketika peningkatan pergerakan penumpang.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan