JENAYAH & MAHKAMAH

SPRM TAHAN LELAKI DISYAKI KEMUKA DOKUMEN PALSU TUNTUTAN PERJALANAN RM4 JUTA

01/04/2026 07:08 PM

KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang penyedia perkhidmatan akaun sebuah syarikat di ibu negara kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu melibatkan tuntutan perjalanan berjumlah RM4 juta.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya semalam.

Beliau berkata suspek dipercayai mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu melibatkan tuntutan seperti perjalanan dan pengangkutan, yuran perakaunan, pembelian genset dan diesel serta pembayaran kad kredit.

“Selain itu, tuntutan keraian, perbelanjaan ke atas hartanah, loji dan peralatan (PPE), tuntutan tunai runcit, tuntutan belanja yang tidak dikenal pasti, tuntutan pembayaran kerja landskap serta pembayaran gaji,” katanya kepada Bernama.

Sumber itu memaklumkan siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut sejak 2023 hingga 2025.

Susulan itu, suspek terbabit direman empat hari hingga 4 April ini selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Kanan (Kawalan dan Penyelarasan Operasi) Bahagian Siasatan, Datuk Yuhafiz Mohd Salleh ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan