AM

PAHANG AKAN TUBUH HAB PEMBORONG SAYUR DI CAMERON HIGHLANDS BANTU PEKEBUN

01/04/2026 07:48 PM

KUANTAN, 1 April (Bernama) -- Kerajaan Negeri Pahang akan menubuhkan hab pemborong sayur di Cameron Highlands bagi mengurangkan kebergantungan pekebun kepada pemborong luar yang didakwa mengawal harga pasaran.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri Sim Chon Siang berkata langkah itu diambil susulan aduan pekebun yang mendakwa hanya menerima sekitar 20 sen sekilogram bagi pelbagai jenis sayur.

“Ada pekebun memaklumkan margin bagi sesetengah sayur hanya sekitar 20 sen sekilogram. Sebelum ini, mereka boleh memperoleh lebih RM1 bagi kira-kira 15 jenis sayur, namun kini hanya tinggal dua jenis yang mencapai harga itu.

“Apabila ditanya mengenai kos dan harga, dimaklumkan ia ditentukan oleh pemborong di Selayang,” katanya kepada pemberita di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.

Beliau berkata keadaan itu, jika berterusan boleh memberi kesan besar kepada industri pertanian di Cameron Highlands selain menjejaskan kelangsungan pekebun yang berisiko menutup operasi.

Dalam pada itu, Sim berkata penubuhan hab pemborong berkenaan akan membolehkan pekebun memasarkan hasil secara terus tanpa bergantung kepada pemborong di ibu kota.

“Setakat ini saya telah mengarahkan Pegawai Daerah Cameron Highlands untuk mengenal pasti lokasi sesuai bagi pembangunan hab tersebut,” katanya.

Beliau berkata perbezaan harga antara peringkat ladang dan pengguna juga dilihat tidak seimbang, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai pihak yang meraih keuntungan dalam rantaian bekalan.

“Sebagai contoh, ada sayur seperti tomato dijual pada harga yang sangat rendah di peringkat ladang, namun harga runcit boleh mencecah sekitar RM6.50 sekilogram. Ini menunjukkan kemungkinan wujud banyak lapisan orang tengah sebelum sampai kepada pengguna,” katanya.

Menyentuh isu kesesakan trafik di Kea Farm, Cameron Highlands, Ahli Dewan Undangan Negeri Teruntum itu berkata pihaknya merancang menempatkan petugas khas bagi mengawal pergerakan pejalan kaki serta menyelaras lintasan secara berkala bagi melancarkan aliran trafik dari 8 pagi hingga 7 malam setiap hari.

“Kita juga mencadangkan pembinaan jejantas lengkap dengan kemudahan seperti eskalator sebagai penyelesaian jangka panjang bagi mengurangkan kesesakan dan meningkatkan keselamatan pengguna,” katanya.

Beliau berkata antara punca utama kesesakan ialah pergerakan pejalan kaki yang tidak terkawal sehingga menjejaskan kelancaran trafik.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan