Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin
KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Peraturan harga minyak terkini di Jerman berpotensi membentuk semula corak permintaan automotif dengan mempercepatkan penggunaan kenderaan elektrik (EV), di samping menimbulkan kebimbangan yang lebih meluas mengenai inflasi dan tekanan kos di Eropah.
Seorang ahli akademik berkata peraturan harga baharu untuk stesen minyak di Jerman yang dijadualkan berkuat kuasa pada 1 April, akan membenarkan stesen minyak menaikkan harga hanya sekali sehari, iaitu pada tengah hari.
Tujuannya adalah untuk mengehadkan turun naik harga bahan api dan memastikan ketelusan yang lebih tinggi. Bagaimanapun, penurunan harga bahan api masih boleh dibuat pada bila-bila masa.
Profesor Adjung Ekonomi Antarabangsa, Fakulti Perniagaan dan Perakaunan, Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) – University of Applied Sciences Jerman, Dr Peter Mayer berkata peraturan yang diperkenalkan untuk menangani kenaikan harga minyak yang melambung akibat perang di Asia Barat itu akan mempengaruhi gelagat pengguna di salah satu pasaran automotif utama dunia.
"Kita mendapati orang ramai kini mempertimbangkan semula untuk memiliki kereta tradisional dan sebaliknya ingin membeli EV," katanya dalam program "Bernama World" di Bernama TV hari ini.
Mayer menjangkakan perkembangan baharu itu akan meluas ke negara lain, termasuk Malaysia pada tahun-tahun mendatang di tengah-tengah kenaikan harga bahan api yang juga akan meningkatkan daya tarikan untuk EV.
“Ledakan EV atau peningkatan penggunaan EV akan bersifat kekal,” tegas beliau.
Walaupun ia boleh memberi kesan positif terhadap perubahan iklim disebabkan oleh pengurangan pencemaran udara, Mayer berkata dasar itu akan memberi impak yang besar kepada ekonomi dan tingkah laku pengguna, didorong oleh kenaikan harga bahan api yang tinggi.
“Akan berlaku kenaikan inflasi secara umum dan kos pengangkutan yang lebih tinggi untuk industri kita.
“Pelarasan harga minyak ini, yang bukan sekadar isu jangka pendek sahaja, akan terus menjadi realiti di Eropah. Ia akan memberi kesan serius kepada masyarakat secara keseluruhan,” katanya.
Mayer berkata peraturan harga baharu untuk stesen minyak mungkin dapat menangani turun naik harga, tetapi beliau meragui langkah itu akan menurunkan harga bahan api.
-- BERNAMA
