JOHOR BAHRU, 1 April (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor menahan empat lelaki warga China selepas didapati menggunakan pasport palsu dan tinggal di negara ini lebih masa tanpa pas sah.
Pengarah JIM Johor Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata individu berumur antara 43 hingga 57 tahun itu ditahan di sebuah pangsapuri mewah di Bayu Puteri di sini, semalam.
“Seorang daripada mereka menggunakan pasport antarabangsa Mexico untuk masuk dan tinggal di negara ini, manakala selebihnya menggunakan pasport negara asal mereka,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata hasil pemeriksaan di kediaman mereka yang tinggal bersama-sama itu turut menemukan 13 naskhah pasport antarabangsa pelbagai negara termasuk dari Vietnam dan Hong Kong.
"Mereka yang ditahan ini disyaki bekerja di satu pusat rekreasi yang sedang dalam proses pembinaan di dalam kawasan kelab golf di sekitar Johor Bahru," katanya.
Mohd Rusdi berkata mereka direman selama 14 hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 6(1)(c) kerana memasuki negara tanpa pas dan Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63, iaitu menggunakan atau memiliki dokumen perjalanan yang dipinda atau dipalsukan secara tidak sah.
Siasatan turut dibuat di bawah Akta Pasport 1966, katanya.
Mohd Rusdi berkata JIM Johor akan terus mempergiatkan operasi bagi membanteras pendatang asing tanpa izin serta sindiket pemalsuan dokumen yang melanggar undang-undang negara.
-- BERNAMA
