PUTRAJAYA, 2 April (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merekodkan 896 kes dengan nilai kompaun berjumlah RM99,800, dan nilai sitaan sebanyak RM32,015.70 sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri 2026.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam berkata sebanyak 13,194 pemeriksaan dijalankan seluruh negara selama 15 hari bermula 14 Mac lepas.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata skim berkenaan telah mencapai objektif utamanya dalam membantu menangani kos sara hidup rakyat sepanjang musim perayaan.
“Bagi memastikan kestabilan harga di pasaran, KPDN telah melipatgandakan usaha pemantauan dengan menjalankan sebanyak 13,194 pemeriksaan di seluruh negara, iaitu peningkatan yang ketara berbanding 7,258 pemeriksaan pada 2025.
“Kehadiran anggota penguat kuasa pada peringkat pengeluar, pemborong dan peruncit adalah bertujuan memastikan peniaga kekal patuh ketika SHMMP ini,” katanya.
Azman berkata kesalahan utama dalam SHMMP kali ini melibatkan kegagalan mempamerkan tanda harga merah jambu, yang mencatatkan sebanyak 892 kes.
“Selain itu, hanya dua kes direkodkan bagi kesalahan tiada tanda harga, manakala dua kes lagi melibatkan kesalahan menjual melebihi harga maksimum.
“Meskipun terdapat peningkatan tindakan kes, majoriti peniaga di seluruh negara tetap menunjukkan tahap kerjasama yang tinggi dan mematuhi harga maksimum bagi 27 jenis barangan terkawal yang diwartakan,” katanya.
Beliau berkata KPDN merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak industri dan para peniaga atas komitmen mereka dalam menjayakan skim ini.
“Susulan peperangan di Asia Barat yang memberikan kesan kepada harga minyak dunia, gangguan laluan perdagangan antarabangsa serta peningkatan kos logistik dan import makanan, keadaan ini telah memberikan tekanan kepada kos pengeluaran dan pengedaran barangan keperluan.
“Namun, melalui pelaksanaan SHMMP, rakyat masih dapat membeli barangan keperluan pada harga berpatutan, di samping memastikan bekalan mudah diperoleh,” katanya.
Secara keseluruhan, beliau berkata SHMMP Hari Raya Aidilfitri 2026 telah berjalan dengan lancar dan mencapai objektifnya hasil daripada pemantauan kementerian serta maklum balas positif daripada orang ramai.
“KPDN akan terus memantau kedudukan bekalan dan harga barangan keperluan bagi memastikan pengguna tidak dimanipulasi dengan harga yang tidak munasabah,” katanya.
-- BERNAMA
