AM

TIKTOK JALIN KERJASAMA DENGAN CONTENT FORUM DAN PAGE PERKASA IBU BAPA MELALUI LATIHAN #THINKTWICE

02/04/2026 12:34 PM

KUALA LUMPUR, 2 April (Bernama) -- TikTok memperluas inisiatif literasi digital menerusi pelancaran Latihan #ThinkTwice, iaitu bengkel untuk melengkapkan komuniti termasuk ibu bapa, pencipta kandungan, ahli akademik dan masyarakat dengan pengalaman praktikal mengenai keselamatan dalam talian.

Menurut TikTok, pelaksanaan inisiatif itu dibina berdasarkan penglibatan kukuh kempen #ThinkTwice di Malaysia, yang telah mencapai hampir 400 juta tontonan kandungan pendidikan serta lebih 1.4 juta kunjungan ke hab pengetahuan pelbagai bahasa. 

“Ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan TikTok untuk membentuk komuniti dalam talian yang lebih bermaklumat. Bagi menandakan pelancaran sulung ini, kami bekerjasama dengan Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Content Forum) serta Kumpulan Tindakan Ibu Bapa untuk Pendidikan Malaysia (PAGE),” menurut kenyataan itu.

Ketua Dasar Awam TikTok Malaysia Firdaus Fadzil berkata sukar bagi ibu bapa untuk mengikuti kepesatan teknologi, justeru TikTok mahu memudahkan kehidupan mereka menerusi pendekatan keselamatan secara reka bentuk.

Sehubungan dengan itu, TikTok menyasarkan untuk melaksanakan bengkel Latihan #ThinkTwice bersama pelbagai komuniti tempatan yang akan dianjurkan sepanjang tahun.

“Akaun remaja di TikTok mempunyai lebih daripada 50 tetapan privasi dan keselamatan pratakrif yang diaktifkan secara automatik. Latihan #ThinkTwice memberikan keyakinan kepada ibu bapa dengan membantu mereka menyesuaikan akaun remaja melalui ciri ‘Family Pairing’ hanya dengan beberapa langkah mudah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Content Forum Mediha Mahmood berkata kemahiran digital satu kemahiran hidup, dan apabila ibu bapa dilengkapi pengetahuan, alat serta pengalaman digital, maka komuniti dapat bersama-sama membentuk remaja yang berdaya tahan dan bertanggungjawab.

“Kita sewajarnya membimbing bukan menhalang; membolehkan mereka belajar navigasi dunia digital dengan sokongan serta perlindungan yang sewajarnya. Oleh itu, adalah penting platform digital menyediakan perlindungan serta alat intuitif yang membantu ibu bapa,” katanya.

Setiausaha Kehormat PAGE Tunku Munawirah Putra turut menyuarakan pandangan bahawa ekspresi kreatif amat penting dalam memupuk penemuan kendiri, meningkatkan keyakinan diri serta membangunkan kemahiran menyelesaikan masalah.

“Ia juga terbukti bahawa penyertaan digital diterjemahkan kepada nilai ekonomi. Kita perlu mempersiapkan remaja untuk dunia sebenar, dan kami mengalu-alukan inisiatif literasi digital TikTok yang memperkasakan ibu bapa dengan kemahiran praktikal bagi melindungi remaja.

“Kebanyakan ibu bapa mempunyai jadual yang sibuk sehingga menyukarkan mengikuti perkembangan teknologi, justeru platform perlu mengurangkan beban dengan prinsip keselamatan secara reka bentuk serta menyediakan alat mudah digunakan yang mengautomatikkan pemantauan ibu bapa,” katanya.

Antara keutamaan Latihan #ThinkTwice ialah simulasi keselamatan interaktif, yang memperlihatkan bagaimana ciri keselamatan TikTok membantu ibu bapa melindungi remaja, termasuk had masa skrin di bawah ‘Family Pairing’, tetapan akaun peribadi, mod terhad, mod penjagaan pencipta dan lain-lain.

Pencipta Kandungan TikTok yang juga ibu kepada dua anak, Audrey (@4feet9) berkata anak sulungnya bakal mencecah usia 13 tahun pada tahun ini, justeru media sosial kini semakin menjadi sebahagian daripada isu yang dibualkan dalam keluarga mereka.

“Latihan itu membantu saya memahami alat keselamatan yang ada, yang sebelum ini saya tidak sedar begitu terperinci.

“Tetapi yang lebih penting, ia menekankan bahawa menjadi ibu bapa pada era digital bukanlah tentang melarang, sebaliknya memberikan panduan, berkomunikasi dan bekerjasama dengan anak-anak untuk mengurus risiko dengan bertanggungjawab,” katanya.

Menurut seorang lagi pencipta kandungan yang merupakan ibu kepada tiga anak, Sufina (@wfsufina), bimbingan dan pendidikan adalah lebih penting berbanding sekadar melarang akses terhadap digital.

“Kanak-kanak hari ini amat bijak, andai menjauhkan mereka daripada platform yang dikawal selia, mereka mungkin beralih ke ruang yang lebih tidak selamat. Oleh itu, ibu bapa perlu memainkan peranan aktif dengan mengambil tahu, sering berkomunikasi serta membantu anak-anak membina tabiat digital yang lebih selamat dari semasa ke semasa,” katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif literasi digital #ThinkTwice TikTok, sila layari hab pengetahuan dalam aplikasi pelbagai bahasa di https://vt.tiktok.com/ZSHoCnGtdVAkh-6xc6m/.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan