Oleh Karina Imran
KUALA LUMPUR, 2 April (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup rendah pada Khamis dengan indeks utama berakhir pada paras terendah harian apabila optimisme terhadap penamatan segera konflik Asia Barat menjadi suram susulan ucapan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pagi ini yang mencetuskan sentimen penghindaran risiko global.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 10.60 mata atau 0.62 peratus kepada 1,698.30 daripada 1,708.90 ketika ditutup semalam.
Indeks penanda aras itu dibuka 3.14 mata lebih tinggi kepada 1,712.04 sebelum bergerak antara 1,688.89 hingga 1,712.80 sepanjang dagangan hari ini.
Lingkungan pasaran adalah suram dengan 744 kaunter rugi mengatasi 374 kaunter untung, manakala 436 kaunter tidak berubah, 1,094 kaunter tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.
Jumlah dagangan turun kepada 3.20 bilion unit bernilai RM3.50 bilion daripada 3.58 bilion unit bernilai RM3.56 bilion.
Trump memberi bayangan kemungkinan tindakan lebih agresif terhadap Iran dalam tempoh dua hingga tiga minggu akan datang, namun tidak memberikan kerangka yang jelas bagi meredakan ketegangan.
Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata ucapan Trump bernada kecewa dan terdapat harapan yang tinggi namun ucapan itu tidak memberikan banyak kejelasan mengenai trajektori geopolitik di Asia Barat.
Beliau berkata justeru menunjukkan pasaran mungkin terlalu berharap kepada senario terbaik.
Prestasi rendah Bursa Malaysia turut sejajar dengan bursa di seluruh rantau ini apabila pasaran utama Asia mengalami tekanan jualan yang ketara, katanya.
“Sentimen pelabur menjadi hambar apabila jangkaan awal terhadap penyelesaian jangka masa pendek bagi konflik Iran digantikan dengan ketidaktentuan baharu.
“Kekurangan kejelasan mengenai pembukaan semula Selat Hormuz menambahkan lagi kebimbangan khususnya susulan sensitiviti pasaran tenaga terhadap gangguan bekalan yang berlarutan,” katanya kepada Bernama.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut 20 sen kepada RM11.46, Public Bank turun enam sen kepada RM4.71, CIMB kurang 12 sen kepada RM7.59, Tenaga Nasional menguncup lapan sen kepada RM14.00 dan IHH Healthcare turun dua sen kepada RM8.94.
Antara saham paling aktif, V.S. Industry turun 1.5 sen kepada 18.5 sen, Top Glove naik 10 sen kepada 76 sen, Sunway Healthcare susut 13 sen kepada RM2.00, Zetrix AI turun setengah sen kepada 75 sen, dan AirAsia X kurang tujuh sen kepada RM1.14.
Kalangan kaunter paling untung, Petronas Chemicals melonjak 57 sen kepada RM5.97, Concrete Engineering Products meningkat 56 sen kepada RM2.43, Kuala Lumpur Kepong naik 36 sen kepada RM21.88, dan Ta Ann menambah 25 sen kepada RM5.56.
Bagi kaunter paling rugi, Nestle susut RM1.90 kepada RM98.80, Petronas Dagangan kurang 90 sen kepada RM21.10, Malaysian Pacific Industries menguncup 88 sen kepada RM29.08, dan United Plantations turun 80 sen kepada RM34.00.
Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 kurang 60.58 mata kepada 12,257.01, Indeks FBM Emas susut 63.04 mata kepada 12,388.62, Indeks FBM 70 turun 15.46 mata kepada 17,086.89, Indeks FBM Emas Syariah kurang 2.76 mata kepada 12,196.92, dan Indeks FBM ACE turun 80.21 mata kepada 4,270.14.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 324.00 mata kepada 20,138.25, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.52 mata kepada 183.40, Indeks Tenaga meningkat 14.31 mata kepada 806.63, dan Indeks Perladangan melonjak 124.08 mata kepada 9,090.35.
Jumlah dagangan Pasaran Utama sebanyak 2.20 bilion unit bernilai RM3.32 bilion berbanding 2.29 bilion unit bernilai RM3.36 bilion pada Rabu.
Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 786.65 juta unit bernilai RM107.48 juta daripada 1.03 bilion unit bernilai RM123.91 juta sebelum ini.
Jumlah dagangan Pasaran ACE menyusut kepada 212.94 juta unit bernilai RM77.68 juta daripada 262.88 juta unit bernilai RM102.19 juta semalam.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 242.33 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (492.01 juta), pembinaan (164.10 juta), teknologi (170.49 juta), perkhidmatan kewangan (88.72 juta), hartanah (161.91 juta), perladangan (71.62 juta), amanah pelaburan hartanah (17.70 juta), dana tertutup (13,900), tenaga (280.32 juta), penjagaan kesihatan (410.01 juta), telekomunikasi dan media (24.25 juta), pengangkutan dan logistik (30.74 juta), utiliti (37.77 juta), dan amanah perniagaan (4.0 juta).
-- BERNAMA
