AM > BERITA

Teroka Krystal Valley Di Balai Seni Negara

20/09/2024 05:00 PM

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) -- Orang ramai berpeluang merasai pengalaman dan meneroka karya instalasi topografi, Krystal Valley yang luar biasa dari pengkarya muda Jun Ong di Balai Seni Negara mulai 13 Sept hingga 11 Nov ini.

Krystal Valley siri kelapan dalam pameran Hanya Satu “Single” yang disokong oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya melalui Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK) 2024 dan dibuka setiap hari bermula 9 pagi hingga 5 petang serta masuk adalah percuma. 

Krystal Valley menggunakan tema Lembah Klang sebagai inspirasi, menggambarkan lembah ini bukan sekadar tempat pembuangan malah kawasan yang kaya dengan mineral.

Jun Ong, 36, berkata Krystal Valley menampilkan sebuah landskap futuristik yang menggabungkan elemen '’imersif' dan kristal buatan berkilauan.

“Krystal Valley mempamerkan pelbagai jenis kristal seperti amethyst (ungu gelap), fluorite (hijau lut sinar) dan bismuth (kilauan), yang mudah dikenali melalui warna dan komposisinya.

“Karya ini yang menggunakan bahan terbuang seperti besi buruk, papan elektronik dan kertas ini diolah menjadi kristal tiruan yang membentuk kolaj tiga dimensi, menyatukan memori serta objek lama dan dipamerkan sebagai sebuah monumen yang memperlihatkan kristal tiruan seperti permata berharga,” katanya kepada Bernama selepas Majlis Media Preview Pameran Hanya Satu “Single” – Krystal Valley malam tadi.

Jun Ong berkata proses ini memberi nafas baharu kepada objek yang biasa, selain memori silam dihidupkan semula seterusnya mencipta hubungan mendalam antara manusia dengan sejarah dan geologi.

“Proses pembentukan kristal, yang dikenali sebagai penghabluran (crystallization), berlaku apabila molekul dalam cecair mula menyejuk dan mengeras lalu menghasilkan kristal kecil yang berkembang apabila lebih banyak atom bergabung.

“Pencahayaan yang digunakan dalam karya ini menjadikannya unik dan futuristik manakala suara halus menghubungkan elemen fizikal dapat membangkitkan perasaan serta penghayatan yang mendalam terhadap karya,” katanya sambil menambah penghasilan karya itu sebagai seruan kepada orang ramai untuk menghargai sejarah dan perubahan.

Beliau berkata karya itu juga membincangkan tentang industri penyembuhan kristal yang bernilai berbilion ringgit sama ada ia disukai kerana kecantikan kristal atau memberi manfaat kepada kehidupan manusia.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman sosial rasmi Jun Ong (@junihaoni) atau layari laman sesawang www.junong.co dan www.artgallery.gov.my.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan