AM > BERITA

Banjir: Ahmad Zahid Seru Orang Ramai Patuhi Arahan Dan Berjaga-jaga

20/09/2024 05:22 PM

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru orang ramai agar mematuhi arahan pihak berkuasa dan mengambil langkah berjaga-jaga berikutan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara menerusi hantaran di Facebooknya hari ini berkata beliau telah mendengar taklimat ringkas daripada Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Khairul Shahril Idrus mengenai keadaan banjir di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.

“Saya difahamkan jumlah mangsa banjir di Kedah meningkat kepada 6,087 orang pagi ini berbanding 4,425 orang malam tadi.

“Sebanyak 1,942 keluarga kini ditempatkan di 36 pusat pemindahan sementara di tujuh daerah. Situasi di Perlis dan Pulau Pinang pula tidak banyak berubah,” katanya yang sebelum itu menghadiri majlis bersama peserta Bengkel Transformasi Ekosistem Halal 2024 di sebuah hotel di ibu negara pagi ini. 

Beliau akan turut melancarkan Bulan Kesiapsiagaan Nasional pada Oktober ini sebagai langkah proaktif memperkukuh kesiapsiagaan negara menghadapi bencana alam.

Katanya inisiatif tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran dan persediaan rakyat dalam menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk bencana banjir dan ribut petir yang semakin kerap berlaku.

“Utamakan keselamatan, lindungi diri dan orang tersayang,” kata Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan