AM > BERITA

PM Anwar Minta Wujudkan Kursi Dr Syed Husin Ali Di Universiti Malaya

21/09/2024 05:10 PM

KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta agar Kursi Dr Syed Husin Ali diwujudkan di mana-mana fakulti Universiti Malaya (UM) bagi mendalami pemikiran sarjana itu. 

Anwar berkata beliau telah meminta Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir supaya segera melaksanakan perkara itu dengan persetujuan keluarga tokoh berkenaan.

“Kursi itu bukan sekadar membicarakan susuk Husin tetapi imbauan mengenai curahan pemikiran beliau dalam banyak tajuk, kemiskinan rakyat, sejarah rakyat yang sebenarnya sedikit sebanyak menyimpang dari aliran pemikiran semasa.

“…beliau bukan seorang sarjana yang mempunyai pengkhususan dalam bidang tertentu tetapi mempunyai ruang pemikiran yang sangat luas jadi Kursi Husin itu gagal kalau kita juruskan satu aspek yang terbatas, (ia) sebenarnya membicarakan soal rakyat, soal Malaysia, soal kemanusiaan dan soal perjuangan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan di Majlis Memperingati Prof Dr Syed Husin Ali yang berlangsung di Institut Pengurusan dan Perkhidmatan Penyelidikan UM hari ini.

Allahyarham Syed Husin yang juga bekas Timbalan Presiden PKR meninggal dunia pada usia 87 tahun pada 29 Jun lepas akibat kanser.

Sahabat rapat serta rakan seperjuangan Anwar itu terlibat dalam banyak pilihan raya selain merupakan antara tokoh politik yang sudah lama berjuang dalam arena tersebut.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai pensyarah dan profesor di UM sebagai pakar dalam bidang sains sosial.

Dalam pada itu, Anwar turut mengumumkan dana RM200,000 kepada Persatuan Sains Sosial Malaysia untuk membantu mengkaji karya serta kajian yang diterbitkan oleh Syed Husin.

“Untuk penulisan dan kajian khusus tentang beberapa karya beliau dan kajian yang boleh diselenggara oleh persatuan, saya umumkan dana RM200,000 untuk tujuan itu dan saya akan luluskan pada minggu depan.

“Beliau seorang yang sangat keras dalam soal tatakelola dan isu-isu rakyat terutama dalam hal kemiskinan rakyat...karyanya banyak menyentuh soal ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan