AM > BERITA

DOSM Rekod 86.2 Peratus Operasi Banci Pertanian 2024

21/09/2024 08:23 PM

SUNGAI BESAR, 21 Sept (Bernama) -- Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) merekodkan status kemajuan operasi Banci Pertanian 2024 mencapai 86.2 peratus di seluruh negara setakat semalam.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata berdasarkan peratusan berkenaan, sebanyak 1.02 juta daripada 1.18 juta tempat kediaman manakala 16,920 daripada 19,753 syarikat pertanian pertanian telah dilawati.

Bagi Selangor, beliau memaklumkan operasi banci pertanian telah mencapai tahap 83.4 peratus dengan 67,727 kediaman dan 2,071 pertubuhan berpotensi menjalankan pertanian.

“Susulan itu, kita meminta pengusaha dan pertubuhan yang terlibat dalam aktiviti pertanian dari semua peringkat untuk memberikan maklumat tepat dan lengkap kepada petugas banci pertanian. 

“Dapatan banci pertanian yang tepat dan lengkap dapat menyediakan statistik pertanian ‘masa nyata’, komprehensif dan berguna kepada semua pihak,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja rasmi kolam udang Pertubuhan Global Goodway (M) Sdn Bhd (Sg Nipah Farm) di sini hari ini.  

Mohd Uzir berkata pencapaian banci pertanian paling tinggi di Selangor disumbangkan oleh daerah Hulu Selangor dan Hulu Langat.

Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata laporan penuh bancian berkenaan dijangka dibentangkan kepada umum seawal suku pertama tahun hadapan, namun analisis awal dijangka dikeluarkan pada hujung tahun ini.

“Namun (keputusan dan analisis itu) bergantung kepada maklum balas daripada agensi, jabatan dan semua pihak yang terlibat.

“Tempoh berbaki 18 hari adalah sangat signifikan untuk melengkapkan proses pengumpulan data di peringkat huluan yang merangkumi sektor tanaman, ternakan, perikanan, tangkapan dan akuakultur serta perhutanan dan pembalakan,” katanya.

Banci Pertanian 2024 yang dijalankan DOSM menyediakan data asas tentang profil pegangan pertanian seperti maklumat demografi, hasil pertanian, kos input, saiz ladang, penggunaan dan pemilikan tanah, mekanisasi serta penggunaan teknologi. 

Ia dapat digunakan dalam merangka dasar dan program jangka pendek dan panjang selain untuk meningkatkan keterjaminan makanan, produktiviti serta mempromosikan pertanian mampan.

Dalam pada itu, beliau memberitahu maklumat awal bancian dibuat mendapati banyak ruang dan peluang untuk meningkatkan produktiviti pertanian termasuk mengenal pasti kaedah mengurangkan kebergantungan sumber makanan import.

“Teknologi digunakan secara betul dan kos purata rendah (dikurangkan) akhirnya harga pasaran dapat dikurangkan, pengguna mendapat manfaatnya.

“Selain itu, kita juga mengenal pasti kelemahan-kelemahan dalam produktiviti pertanian seperti tanah warisan keluarga yang tidak dimanfaatkan sepenuhnya untuk tujuan berkenaan berikutan pemilik atau pewarisnya mempunyai pendapatan lain seperti bekerja dan sebagainya,” katanya.

Sebarang maklumat lanjut mengenai Banci Pertanian 2024 boleh diakses di https://www.myagricensus.gov.my/.  

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan