AM > BERITA

Banglo Usang Dipenuhi Mural Di Kluang Kini Lokasi Tumpuan Pelancong

22/09/2024 05:35 PM

Oleh Kamarul Halim M Kamal

KLUANG, 22 Sept (Bernama) -- Sebuah banglo yang dahulunya usang kini menjadi tarikan pelancong apabila premis itu menjadi kanvas kepada Zulkefli Dahlan bagi menghasilkan puluhan mural tiga dan empat dimensi (3D dan 4D). 

Bekas kartunis sambilan majalah humor berusia 46 tahun itu berkata dia tidak menyangka aktiviti yang dibuat pada masa lapang ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) empat tahun lepas akibat pandemik COVID-19 mendapat pengiktirafan pihak berkuasa tempatan.

Banglo yang dahulunya usang dan terbengkalai itu kini dikenali sebagai Rumah Seni Kluang selepas dindingnya dilukis dengan kira-kira 80 mural 3D dan 4D selain turut dijadikan lokasi wajib kunjung di daerah ini oleh Tourism Johor.

"Mural terawal yang saya buat ialah suasana Kampung Palembang iaitu antara lokasi di Kluang dan sebuah warong kopi yang sinonim dengan daerah ini.

"Selain itu, mural yang turut menjadi tumpuan ialah potret Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail. Mural ini dihasilkan menggunakan cat khas iaitu cat mural, cat pintar serta cat air sebelum disapukan dengan lakuer," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Zulkefli berkata Rumah Seni Kluang yang dibuka pada Februari tahun lepas itu telah menerima kunjungan lebih 2,000 pelancong tempatan dan luar negara termasuk dari  Singapura dan Indonesia.

"Selain berkarya di Rumah Seni Kluang, Laman Seni dan Laman Pesona Kluang di sini, saya juga aktif melukis mural di beberapa daerah lain seperti Mersing, Tangkak dan Batu Pahat.

"Saya semakin aktif menghasilkan mural selepas mendapat galakan daripada rakan-rakan yang menyokong perjalanan seni ini sekali gus menjadikan saya lebih bersemangat menghasilkan mural pada masa akan datang," katanya.

Zulkefli turut berterima kasih kepada pihak Tourism Malaysia Wilayah Selatan kerana telah memasukkan Rumah Seni Kluang itu sebagai satu tarikan dan lokasi yang perlu dikunjungi ke daerah ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan