AM > BERITA

Keterangkuman Dalam Angkatan Tentera Penting Untuk Perpaduan Negara - Lee

22/09/2024 06:32 PM

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah mengenai keterangkuman dalam angkata tentera, perlu disambut baik kerana ia penting untuk perpaduan negara, kata Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara Tan Sri Lee Lam Thye.

Lee dalam kenyataan hari ini berkata titah itu penting khususnya dalam masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya seperti di Malaysia.

"Anggota tentera yang berbilang kaum mencerminkan kepelbagaian di negara ini sekali gus dapat mewakili setiap kumpulan etnik. Oleh sebab kita sama di sisi undang-undang dan berkongsi taat setia kepada raja dan negara, kita semua harus memikul tanggungjawab serta beban dalam mempertahankan negara daripada ancaman dan musuh.

"Mempertahankan negara atau berkhidmat untuk negara mestilah menjadi tanggungjawab bersama. Hal ini memupuk rasa kekitaan dan kepunyaan dalam kalangan pelbagai komuniti," katanya.

Lee turut mengulangi bahawa angkatan tentera yang pelbagai dapat meningkatkan perpaduan sosial dan kepercayaan dalam kalangan kumpulan etnik kerana keterangkuman membantu mengurangkan ketegangan etnik dan menggalakkan perpaduan negara disebabkan individu daripada pelbagai latar belakang bekerjasama ke arah matlamat sama.

Beliau berkata menggalakkan keterangkuman dapat membantu menarik minat lebih ramai bakat sekali gus meningkatkan kekuatan dan daya tahan pasukan tentera yang amat diperlukan negara.

Lee berkata perkhidmatan awam dan polis juga perlu lebih inklusif dan mewakili sebuah negara yang berbilang kaum.

"Kita harus mencadangkannya sebagai prosedur operasi standard bahawa pengambilan kerajaan perlu mempromosikan kepelbagaian dan keterangkuman. Hal ini termasuk menetapkan sasaran wakil daripada pelbagai kumpulan etnik.

"Kita juga perlu menyediakan laluan yang jelas bagi kemajuan kerjaya, memastikan bahawa kaum dan etnik minoriti mempunyai akses yang adil kepada jawatan pembuat keputusan dan kepimpinan," katanya.

Kerajaan juga kata Lee, dicadangkan agar mengadakan kempen pengambilan bersasar termasuk di Sabah dan Sarawak serta program latihan yang menekankan kepelbagaian, kesaksamaan dan keterangkuman selepas pengambilan mereka.

Beliau berkata pengajaran sensitiviti dan kesedaran budaya kepada semua petugas dapat membantu memupuk persekitaran inklusif, oleh itu program bimbingan yang memadankan pekerja baharu daripada pelbagai latar belakang dengan mentor berpengalaman dapat diwujudkan.

"Dengan menerima kepelbagai kaum dan memupuk keterangkuman, angkatan tentera dan perkhidmatan awam dapat berfungsi lebih berkesan dan mewakili kepelbagaian rakyat Malaysia, yang akhirnya menyumbang kepada negara yang harmoni, makmur dan bersatu.

"Marilah kita bergerak maju dengan tekad, memastikan bahawa semua rakyat mempunyai peluang sama rata untuk menyumbang dan mendapat manfaat daripada usaha penting dalam sektor perkhidmatan awam," katanya.

Semalam, Sultan Nazrin bertitah tanggungjawab mempertahankan negara daripada ancaman musuh perlu dipikul secara bersama, yang bermakna komposisi angkatan tentera di negara ini tidak dibatasi kepada orang Melayu sahaja.

Baginda bertitah bahawa memahami hakikat komposisi rakyat di negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum adalah penting untuk diusahakan langkah ke arah itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan