AM > BERITA

KESUMA Anjur Jerayawara Siri Kedua Di Pahang, Beri Kesedaran Isu Buruh Paksa

23/09/2024 02:03 PM

PUTRAJAYA, 23 Sept (Bernama) -- Jerayawara ‘Katakan Tidak Kepada Buruh Paksa’ siri kedua yang diadakan di Pahang selama dua hari bermula hari ini bertujuan memberikan kesedaran kepada masyarakat setempat berhubung isu buruh paksa.

Program anjuran Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) bagi membanteras kegiatan buruh paksa dan pemerdagangan orang itu dilancarkan Ketua Setiausaha KESUMA Datuk Azman Mohd Yusof. 

KESUMA menerusi kenyataan sempena pelancaran program itu memaklumkan sepanjang program berkenaan pihaknya akan mengetengahkan usaha-usaha yang telah diambil dalam menangani isu buruh paksa.

Selain itu, kementerian akan memperkasakan amalan terbaik dalam pengurusan pekerja dalam kalangan sektor perburuhan dan swasta.

“Kita berusaha menerapkan konsep ‘keterangkuman’ dalam usaha meningkatkan kesedaran umum berkaitan isu buruh paksa dan pemerdagangan orang.

“Konsep ini merujuk kepada konsep ‘kerjasam erat’ dan kekitaan sama seperti peribahasa ‘bersatu kita teguh, bercerai kita roboh’,” menurut kenyataan itu.

Menurut KESUMA program jerayawara akan diteruskan bagi memastikan bukan sahaja dapat menyerbarluaskan penguatkuasaan undang-undang perburuhan negara tetapi juga memberikan khidmat nasihat secara terus kepada orang awam.

“Ini kerana kita sedar bahawa masyarakat umum dan setempat sangat penting untuk menjadi mata dan telinga kementerian dalam segala usaha menangani apa juga isu global seperti buruh paksa dan pemerdagangan orang.

“KESUMA melalui JTKSM dan juga jabatan serta agensi di bawahnya akan terus mempergiat usaha dan tindakan penguatkuasaan berdasarkan lunas perundangan dalam memastikan kelestarian dan keberlangsungan aktiviti pembangunan industri perburuhan negara,” menurut kenyataan itu. 

 Program jerayawara siri pertama diadakan di Johor pada Julai lepas dan dilaksanakan secara kolaborasi melibatkan pihak seperti Jabatan Penerangan, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan