AM > BERITA

PAAB Komited Laksana CSR Untuk Kelestarian Masyarakat, Alam Sekitar

23/09/2024 04:25 PM

LUMUT, 23 Sept (Bernama) -- Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) memperuntukkan RM430,000 bagi melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang mampu memberikan impak positif kepada komuniti serta alam sekitar.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ir Zulkiflee Omar berkata komitmen PAAB terhadap CSR berkonsepkan ‘alam sekitar dan sosial’ ini sudah bermula sejak 2019 selain melibatkan pelbagai golongan di kebanyakan negeri seluruh Malaysia.

“Pada 2019 kita bermula dengan penganjuranprogram ‘CSR School Sustainability’. Kemudian pada 2022, kita laksanakan Program CSR Kempen Masjid Hijau yang melibatkan penaiktarafan fasiliti air di sembilan  masjid di Melaka, Kelantan dan Negeri Sembilan.  

“Program pembersihan pantai yang berlangsung hari ini pula (Teluk Senangin) kesinambungan daripada tiga program pembersihan pantai dan bakau yang dilaksanakan di Pulau Pinang, Selangor dan Johor pada tahun lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program ‘A Wave Of Change: Beach Cleaning’ di Pantai Teluk Senangin di sini hari ini yang turut dihadiri Pengurus Besar Lembaga Air Perak (LAP) Lokman Abd Rahim dan Ahli Majlis Perbandaran Manjung (MPM) Ramzi Bakar.

Mengulas mengenai program dilaksanakan itu, Zulkiflee berkata ia melibatkan kira-kira 300 peserta dalam kalangan pelajar Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Marine Engineering Technology (UniKL MIMET), Politeknik Sultan Idris Shah dan kakitangan PAAB.

Beliau berkata dalam program berkenaan para peserta berjaya mengumpulkan sekitar 467 kilogram (kg) sampah sarap  di sekitar pesisir pantai Teluk Senangin.

“Sampah sarap yang dikutip itu kita timbang dan kita asingkan mengikut jenis supaya memudahkan proses kitar semula.

“Kita juga memasang tiga papan tanda informasi sebagai langkah memupuk kesedaran kepada pengunjung selain penanaman empat anak pokok jenis Meraamwan Siput Jantan sebagai simbolik penganjuran CSR ini,” katanya.

Program ini juga secara dasar ialah satu gerakan kesedaran yang memberikan mesej jelas kepada masyarakat supaya sentiasa menitikberatkan hal berkaitan kelestarian alam.

Dalam perkembangan lain, Zulkiflee berkata PAAB meluluskan sebanyak RM153 juta bagi pembinaan Skim Bekalan Air Sungai Kerian dan projek penggantian paip lama sepanjang 15 kilometer di daerah Kinta.

Pembinaan Skim Bekalan Air Sungai Kerian menelan belanja sekitar  RM126.55 juta manakala peruntukan bagi penggantian paip lama berjumlah RM26,4 juta.

“Kita akan terus komited dan masih banyak projek infrastruktur air yang dirancang dibina di Perak dengan kerjasama LAP sebagai pihak bertanggungjawab di peringkat negeri,” katanya.

PAAB ditubuhkan pada 2006 dan dikawal selia oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) serta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Melalui Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, PAAB bertanggungjawab membangunkan aset air di Semenanjung Malaysia dengan kadar pembiayaan kompetetif serta memastikan keberkesanan pelaksanaan inisiatif yang berkaitan dengan infrastruktur air negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan