AM > BERITA

UMT Lancar UMTBeacon Untuk Pacu Penglibatan Malaysia Dalam Ekonomi Biru

23/09/2024 04:43 PM

PUTRAJAYA, 23 Sept (Bernama) -- Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam sektor ekonomi biru dengan penubuhan Pusat Pemajuan Ekonomi Biru (UMTBeacon), sempena Perbincangan Meja Bulat Ekonomi Biru di sini hari ini.

Naib Canselor UMT Prof Dr Zamri Ibrahim berkata UMTBeacon, akan memainkan peranan penting sebagai hab penyelidikan dan inovasi dengan tumpuan kepada ilmu perikanan dan akuakultur lestari, pemuliharaan ekosistem marin, tenaga biru, pelabuhan dan perkapalan serta keusahawanan maritim.

Beliau berkata kerancakan ekonomi biru di peringkat global kini menuntut Malaysia merangka strategi jangka panjang, yang mampu memacu pertumbuhan ekonomi, mencipta peluang pekerjaan baharu serta melindungi ekosistem marin yang rapuh.

“Di sinilah UMT memainkan perananan penting sebagai pusat pengetahun yang akan menghubungkan para akademik, penyelidik dan pemain industri, untuk membangunkan solusi yang praktikal serta berimpak tinggi kepada sektor marin dan komuniti maritim.

“Melalui penyelidikan berimpak tinggi, kerjasama strategik daripada pelbagai pihak dan berinovasi, UMT komited untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi yang mampan, sejajar dengan matlamat pembangunan mampan (SDG) demi mencapai impian bersama untuk kelangsungan ekosistem laut yang subur dan lestari,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran UMTBeacon sempena Perbincangan Meja Bulat Ekonomi Biru hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah UMT Prof Dr Mohamad Salmi Mohd Sohod berkata Malaysia mempunyai potensi besar dalam ekonomi biru kerana berada di kedudukan unik, dengan lebih 4,600 kilometer garisan pantai dan kawasan maritim yang kaya dengan sumber untuk diteroka.

Beliau berkata antara sektor yang berpotensi luas untuk dikembangkan termasuk perikanan, akuakultur, pelancongan, minyak dan gas, perkapalan, serta bidang baharu seperti tenaga laut boleh diperbaharui.

“Untuk kita terus menikmati manfaat ekonomi daripada lautan, kita mesti mengamalkan model yang mengimbangkan pertumbuhan dengan pemuliharaan.

“Kita perlu meneroka amalan yang lestari, melabur dalam tenaga boleh baharu berasaskan laut dan memastikan akses yang adil kepada komuniti tempatan yang bergantung kepada sumber marin dan air,” katanya.

UMT hari ini turut mengadakan perbincangan meja bulat yang menghimpunkan pemikir, pembuat dasar, penyelidik dan pihak berkepentingan daripada pelbagai sektor berkaitan ekonomi biru, untuk bertukar idea dan kepakaran.

Pada majlis sama, dua penerbitan penyelidikan berkaitan pandangan sektor maritim terhadap ekonomi biru serta data-data berkaitan ekologi marin negara, turut dilancarkan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan