AM > BERITA

Hi-5 For Health: Raikan Lima Tahun Kecemerlangan Penjagaan Kesihatan Di SMCV

24/09/2024 10:41 AM

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Sunway Medical Centre Velocity (SMCV) meraikan ulang tahun kelima bertemakan Hi-5 for Health dalam sambutan diadakan selama tiga hari, bermula Khamis lepas  bagi memperingati pencapaiannya bersama pesakit tempatan dan antarabangsa yang pernah disantuni oleh hospital selama ini.

Menurut kenyataan SMCV, perayaan itu dirasmikan pada 20 Sept lepas yang dihadiri oleh pasukan pengurusan SMCV, pesakit dan wakil media.

Ketua Pegawai Eksekutif SMCV Susan Cheow dalam ucapannya berkata pihak hospital sangat berterima kasih kepada pesakit mereka, baik tempatan mahupun antarabangsa, rakan kongsi, dan masyarakat Malaysia atas kepercayaan dan sokongan berterusan selama ini.

"Misi kami untuk menyediakan penjagaan kesihatan berkualiti tetap teguh, dan kami berdedikasi bagi tujuan ini untuk beberapa tahun akan datang,” katanya dalam kenyataan.

Susan turut memaklumkan pencapaian terkini pembukaan bangunan baharu hospital (Tower A) awal tahun ini, serta komitmen hospital dalam mengadaptasi inovasi dan trend teknologi terkini, memperluas perkhidmatan dan memberikan penjagaan luar biasa.

“Ulang tahun kelima adalah perayaan bagi meraikan pesakit dan komuniti kami. Kepercayaan mereka memberi motivasi kepada kami dalam segala yang kami lakukan. Paling penting, kami komited untuk menjadi tempat pesakit berasa disokong, dijaga dan dihargai,” katanya.

Selain ucapan bermakna daripada Susan, turut diadakan majlis memotong kek dihasilkan oleh seorang daripada pesakit, yang jelas melambangkan hubungan erat antara SMCV dan komuniti disantuni.

Menurut SMCV, pelbagai aktiviti disediakan sepanjang sambutan tiga hari berkenaan, dengan penglibatan kanak-kanak dan dewasa untuk mempromosikan kesihatan dan kesejahteraan antaranya aktiviti pendidikan kebersihan tangan, lukisan wajah, menunggang haiwan khusus untuk kanak-kanak, bertih jagung percuma dan banyak lagi.

Di samping itu juga, golongan dewasa berpeluang merasai pengalaman menjadi pakar bedah menerusi pengalaman realiti maya (VR) dan mendapatkan pandangan mengenai bidang pembedahan.

Pengunjung juga dapat meneroka reruai kesihatan dan kesejahteraan yang menampilkan produk serta perkhidmatan daripada rakan kongsi seperti Sunway Sanctuary, Claire Organics, Farm Fresh, Yakult, Partylicious, So Pilates, Honey Hearts, Kintry, Mommama, Hapifam, Baba Beng, dan Kayla Bakehouse.

Bersempena dengan sambutan ulang tahun kelima, SMCV turut memperkenalkan promosi menarik dan diskaun hingga 20 peratus untuk pemeriksaan kesihatan, dan pakej kesihatan serta kesejahteraan lain.

“Tawaran istimewa ini adalah sebahagian daripada komitmen kami untuk menyokong kesihatan dan kesejahteraan komuniti, dibuka hingga 30 Sept ini. Ia juga sebagai inisiatif untuk mengajak orang ramai mengutamakan kesihatan dan memanfaatkan tawaran ini,” menurut kenyataan itu.

Tema Hi-5 for Health mengingatkan kepada detik berharga SMCV sepanjang lima tahun lepas, termasuk kelahiran bayi pertama pada 2019.

“Walaupun bayi berkenaan yang diberi panggilan mesra 'Velo’ kini menetap di luar negara, kisah ini kekal sebagai sebahagian daripada sejarah SMCV, melambangkan banyak nyawa telah disantuni oleh hospital ini,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan