AM > BERITA

Jabatan Perikanan Percepat Digitalisasi Perkhidmatan Kurangkan Kerenah Birokrasi

24/09/2024 04:30 PM

Oleh Samantha Tan Chiew Tieng

PUTRAJAYA, 24 Sept (Bernama) -- Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) sedang mempercepatkan penggunaan teknologi digital dan automasi dalam proses pentadbiran dan operasi, termasuk melalui pelaksanaan e-perkhidmatan yang memudahkan urusan lesen perikanan, pemantauan dan penguatkuasaan serta pengumpulan data.

Ketua Pengarah berkenaan Datuk Adnan Hussain berkata DOF juga akan memperluaskan penggunaan platform digital untuk berinteraksi dengan nelayan, pengusaha akuakultur dan industri perikanan dalam membantu meningkatkan ketelusan dan kecekapan perkhidmatan serta mengurangkan masa pemprosesan dan kerenah birokrasi.

Beliau berkata usaha menambah baik pengoperasian DOF itu adalah selaras dengan reformasi perkhidmatan awam diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) pada Ogos lepas.

“DOF memperkenalkan sistem pengukuran prestasi yang lebih berfokus kepada hasil dan impak, selaras dengan arahan reformasi perkhidmatan awam bertujuan untuk memastikan setiap aktiviti dan program dilaksanakan memberikan nilai tambah kepada industri perikanan dan komuniti yang terlibat,” katanya kepada Bernama dalam temubual di sini baru-baru ini.

Selain itu, beliau berkata fokus juga akan diberikan kepada peningkatan kemahiran dan pengetahuan pegawai-pegawai DOF melalui latihan berterusan, khususnya dalam bidang teknologi digital, pengurusan data dan penguatkuasaan undang-undang perikanan.

Jelas beliau, penglibatan dan perkhidmatan kepada pelanggan akan ditingkatkan agar pegawai DOF menjadi lebih responsif terhadap keperluan dan maklum balas daripada komuniti nelayan dan pengusaha akuakultur, termasuk menambah saluran komunikasi dua hala dan portal aduan dalam talian untuk mempercepatkan penyelesaian sesuatu isu.

Adnan berkata DOF akan menganjurkan lebih banyak sesi libat urus dengan komuniti perikanan bagi meningkatkan kesedaran tentang dasar-dasar terkini dan mendapatkan maklum balas secara langsung, selaras dengan reformasi yang menekankan penglibatan aktif semua pihak berkepentingan.

Beliau berkata usaha lain dalam memantapkan pengurusan DOF adalah memperkukuh penguatkuasaan undang-undang perikanan dengan tindakan lebih tegas terhadap pelanggaran peraturan, termasuk penggunaan teknologi untuk memantau aktiviti perikanan secara masa nyata.

“Ini termasuklah mewajibkan pemasangan dan pelaksanaan Kod Quick Response (QR) ke atas semua vesel perikanan tangkapan laut dalam (Zon C2) mulai 2026. Pelaksanaannya bersama Sistem Identifikasi Vesel (SIV) akan membantu jabatan membenteras nelayan asing yang mengaut hasil perikanan negara secara haram serta isu pengklonan vesel tempatan,” katanya.

Beliau berkata kerjasama antara agensi lain juga akan dikukuhkan selain sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk memastikan pelaksanaan reformasi yang berkesan dalam aspek pengurusan sumber, penyelidikan dan pembangunan teknologi baharu dalam sektor perikanan.

“Langkah-langkah ini diambil untuk memastikan DOF dapat beroperasi dengan lebih cekap, responsif dan berdaya saing, selaras dengan aspirasi reformasi perkhidmatan awam,” katanya.

Adnan berkata penekanan terhadap prinsip pemberian ganjaran berasaskan prestasi dan tatakelakuan akan dititikberatkan dalam pengurusan sumber manusia untuk memastikan peningkatan produktiviti dalam perkhidmatan awam.

Beliau berkata elemen perkhidmatan awam sedia ada akan ditambah baik melalui pemerkasaan antaranya pengoptimuman sumber dan peningkatan produktiviti, pengurusan dan pembangunan modal insan, pengukuhan kepimpinan, tatakelola dan pemerkasaan penyampaian perkhidmatan.

“Selain itu, pelaksanaan pusingan kerja akan dijalankan agar dapat melahirkan pegawai yang kompeten di dalam semua skop bidang perikanan. Ini bagi memastikan pengoperasian dan perkhidmatan disampaikan akan berjaya mencapai sasaran ditetapkan dan dinikmati oleh pemegang taruh dan rakyat keseluruhannya,” katanya.

Dalam usaha mempertingkat integriti dalam kalangan pegawai DOF, Adnan berkata pembentukan budaya kerja berintegriti menjadi keutamaan dan antara program yang akan dilaksanakan adalah taklimat kesedaran integriti secara berkala dalam majlis atau program yang dianjurkan oleh jabatan di peringkat ibu pejabat dan juga negeri.

Selain itu, beliau berkata Unit Integriti akan melaksanakan hebahan bulanan dengan menghantar infografik melalui e-mel kepada semua kakitangan DOF sebagai peringatan mengenai integriti terhadap pematuhan kepada peraturan dan tatakelakuan.

“Unit Integriti juga melaksanakan sesi pematuhan secara berkala sama ada secara berjadual atau mengejut ke bahagian-bahagian di ibu pejabat dan juga pejabat perikanan negeri terhadap kepatuhan kakitangan kepada peraturan dan tatakelakuan yang berkuat kuasa,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan