AM > BERITA

P Pinang Pulihkan Mural Di George Town

25/09/2024 05:00 PM

GEORGE TOWN, 25 Sept (Bernama) -- Artis jalanan Lithuania, Ernest Zacharevic bersetuju untuk membantu dalam pemulihan tiga mural paling ikonik di George Town yang menjadi simbol diiktiraf di peringkat antarabangsa bagi latar belakang seni jalanan meriah dan warisan budaya.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri Wong Hon Wai berkata pemulihan mural di Lebuh Armenian, Lebuh Ah Quee dan Lebuh Cannon ITU akan dimulakan dalam masa terdekat.

"Sejak Ernest mula melukis mural itu di George Town sebagai sebahagian daripada Festival George Town pada 2012, ia telah menarik perhatian global dan membawa pelancong dari seluruh dunia untuk menyaksikan karya seni luar biasa tersebut.

"Mural seperti Kanak-kanak Berbasikal yang terkenal di Lebuh Armenian bukan sahaja menjadi mercu tanda digemari tetapi juga memainkan peranan penting dalam meletakkan Pulau Pinang di persada dunia malah karya seni telah menyumbang kepada pengiktirafan negeri ini sebagai hab untuk warisan kolonial dan seni jalanan kontemporari," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata seiring dengan berlalunya masa, mural berkenaan secara semula jadi telah lapuk dan ramai penduduk serta pelancong menyatakan kebimbangan terhadap kemerosotan secara beransur-ansur.

Wong berkata kerajaan negeri telah menerima banyak maklum balas daripada orang ramai supaya memulihkan mural itu dan memeliharanya untuk generasi akan datang dan pihaknya menghubungi Ernest bagi mengadakan  perbincangan sebelum beliau bersetuju memulihkan mural tersebut.

Katanya kerajaan negeri merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ernest atas kesediaannya untuk kembali dan memulihkan kerja-kerja mural itu serta  sumbangan beliau telah memberi impak yang berkekalan di Pulau Pinang.

"Kami yakin mural yang dipulihkan terus memberi inspirasi kepada pengunjung dari seluruh dunia dan  berharap projek pemulihan itu akan menggalakkan lebih ramai artis tempatan serta antarabangsa untuk menyumbang kepada persada seni Pulau Pinang," katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri sentiasa menjadi penyokong seni dan budaya dengan menyediakan persekitaran yang membolehkan ekspresi kreatif berkembang.

"Dalam suasana yang menyokong inilah mural luar biasa itu dicipta dan kami tetap komited untuk memupuk masyarakat budaya dan seni yang bertenaga di Pulau Pinang.

"Kami teruja untuk menyaksikan semula karya seni dan memastikan ia terus memperkaya  landskap budaya George Town untuk beberapa tahun akan datang," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan