AM > BERITA

PRK Mahkota: Orang Asli Antara Yang Awal Keluar Mengundi

28/09/2024 10:01 AM

KLUANG, 28 Sept (Bernama) -- Pengundi Orang Asli antara yang terawal keluar menunaikan tanggungjawab bagi memilih wakil rakyat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota hari ini.

Tok Batin Kampung Tanah Runtuh di sini Mohd Noorsham Abdullah, 49, berkata selaku pemimpin kawasannya, beliau bangun seawal 6 pagi untuk mengajak penduduk kampung keluar mengundi.

“Kami datang beramai-ramai iaitu 15 orang. Perjalanan dari kampung ke pusat dekat sahaja, cuma mengambil lima minit. Jam 7 pagi kami semua sudah tiba dan menunggu (di luar pusat mengundi) sebelum dibenarkan masuk untuk memilih YB (wakil rakyat).

“Kami tak mahu ketinggalan untuk memilih wakil rakyat terbaik untuk kami. Lagipun prosesnya mudah dan sekejap sahaja sudah selesai,” katanya semasa ditemui di pusat mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Jalil di sini hari ini.

Turut mengundi di situ ialah isteri dan dua anak Mohd Noorsham.

Suri rumah Radiah Sahari, 35, dari suku Jakun berkata beliau keluar awal untuk ke pusat mengundi dengan menunggang motosikal, kerana tetap bersemangat mengundi walaupun ini merupakan kali ketiga dia menjalankan tanggungjawab itu sejak Pilihan Raya Umum (PRU) lepas.

“Saya kena datang untuk beri undi kepada ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) yang boleh bantu kami. Penting sebab kampung kami adalah satu-satunya kampung Orang Asli di sini. Kena pastikan kami pilih yang baik,” katanya.

PRK DUN Mahkota menyaksikan persaingan antara calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah dengan Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan