AM > BERITA

Pusat Kajian Telekomunikasi Satelit Bantu Usaha Kerajaan Luas Penggunaan Teknologi Direct-To-Cell - Fahmi

28/09/2024 06:28 PM

Oleh Hasnah Jusid

BEIJING, 28 Sept (Bernama) -- Penubuhan pusat kajian dan penyelidikan serta pusat kecemerlangan yang pertama di Malaysia dalam bidang telekomunikasi satelit, mampu membantu usaha kerajaan yang berhasrat meluaskan pengunaan teknologi direct-to-cell menerusi satelit orbit rendah (LEO).

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata pusat berkenaan, yang bakal dibangunkan syarikat teknologi satelit China Geespace dan syarikat telekomunikasi Altel itu, boleh menjadi platform untuk membolehkan lebih banyak kajian dijalankan bagi melihat kesesuaian penggunaan teknologi tersebut.

Beliau berkata teknologi direct-to-cell dilihat penting, kerana berupaya membantu menyelesaikan masalah kesalinghubungan di tempat terpencil, termasuk mereka yang berada di sempadan negara atau nelayan yang berada di lautan untuk mendapatkan liputan internet.

“Menerusi pusat R&D dan pusat kecemerlangan ini, saya rasa akan beri peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia terlibat dalam bidang ini, kerana tidak dinafikan ini satu bidang baharu yang mengujakan dan berupaya menjana pendapatan bagi negara kita.

“Harapan saya dengan adanya pusat kecemerlangan ini, ia akan dapat meningkatkan mutu, kualiti serta jumlah kajian yang boleh diaplikasikan dengan produk yang boleh dikomersialkan, khusus dalam bidang teknologi satelit seterusnya memberi limpahan ekonomi kepada kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas menyaksikan majlis penandatanganan perjanjian usahasama antara Geespace yang diwakili Ketua Pegawai Teknologi Edison Ding dan Altel diwakil Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Altel Group Sdn Bhd Mohamad Helmi Harith.

Menurut Geespace dan Altel perjanjian usaha sama itu, beraspirasi untuk menghasilkan nilai yang  tinggi bagi industri satelit di Malaysia, dengan jumlah pelaburan langsung asing (FDI) melebihi RM400 juta.

Teknologi direct-to-cell membolehkan telefon menerima isyarat telekomunikasi yang dipancarkan satelit LEO tanpa sebarang perkakasan tambahan. Satelit LEO biasanya beroperasi pada ketinggian 300-2,000 kilometer dari permukaan bumi, lebih murah serta memberikan penghantaran isyarat lebih cekap.

Fahmi berkata beliau juga telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), untuk meneliti aspek permohonan yang dikemukakan syarikat itu dalam memperkenalkan teknologi berkenaan.

“Saya telah minta MCMC meneliti aspek permohonan dan saya telah minta Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk melihat kesesuaian, menerbitkan rancangan atau dokumentari mengenai tekonologi seperti ini dan juga teknologi baharu yang disebut emergence technology,” katanya.

Beliau berkata Altel dan Geespace juga difahamkan sedang mengusahakan satu bukti konsep menjelang suku kedua 2025 bagi teknologi LEO satellite IoT, High Precision Positioning dan Direct-to-cell yang diharap mampu manfaatkan rakyat Malaysia.

Sebelum ini Fahmi berkata pihaknya sedang meneliti penggunaan teknologi satelit sebagai menara telekomunikasi dalam usaha menambah baik sistem komunikasi di negara ini, sekali gus membolehkan dasar ‘di mana ada jalan, di situ ada internet’, dapat dicapai dan dilaksanakan dengan baik.

Fahmi kini sedang dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke China bermula Khamis dan dijadual berlepas ke Korea esok bagi menyertai GSMA Mobile 360 APAC dan menyampaikan ucaptama menerusi sesi Building the AI-Enabled Digital Backbone.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan