AM > BERITA

Debat Generasi MADANI Piala Menteri Pendidikan, Kukuhkan Perpaduan

30/09/2024 10:24 AM

KUANTAN, 30 Sept (Bernama) -- Gelanggang debat dikenal pasti sebagai platform terbaik untuk mengasah dan membentuk pemikiran pelajar secara holistik ke arah meningkatkan kualiti kepimpinan individu serta penerimaan kepelbagaian agama, budaya, dan adat resam masyarakat Malaysia.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata arena debat yang sinonim sebagai ruang mempertajamkan daya fikir pendebat dalam memahami naratif pelbagai isu, berupaya mengukuhkan serta memperkasakan perpaduan pelbagai kaum menerusi kerjasama sepasukan dalam menghasilkan hujah yang berkesan.

Menurutnya, keberkesanan platform ini dapat dilihat menerusi penganjuran Pertandingan Debat Generasi MADANI Piala Menteri Pendidikan Peringkat Kebangsaan 2024, yang julung kali diadakan, dengan setiap pasukan diwajibkan terdiri daripada pelbagai kaum atau etnik. Ini sekali gus menterjemahkan aspirasi bangsa Malaysia.

"Latar belakang pasukan yang mewakili negeri-negeri adalah pelbagai kaum, ada yang dari Sabah, Sarawak, termasuk Semenanjung. Inilah yang kita inginkan dalam sebuah pertandingan, khususnya debat. Saya fikir, ini adalah langkah terbaik yang dimulakan di peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Kita dapat lihat bagaimana proses debat memerlukan kerjasama, kefahaman tinggi, dan sokongan daripada setiap pendebat dalam satu pasukan. Apabila tema debat dibicarakan, ia adalah suara yang mewakili pelbagai pandangan (kaum), dan debat ini telah berjaya menterjemahkan aspirasi bangsa Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Debat Generasi MADANI Piala Menteri Pendidikan Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Kampus Gambang, baru-baru ini.

Fadhlina berkata gelanggang debat yang menjadi wadah bermanfaat dalam melahirkan pelajar yang matang dalam pemikiran memerlukan komunikasi yang mantap untuk melontarkan pandangan. Oleh itu, medan ini juga berperanan dalam mengukuhkan serta memartabatkan bahasa Melayu.

“Kualiti pendebatan yang saya kira perlu diberikan perhatian dalam agenda reformasi pendidikan khususnya memartabatkan bahasa Melayu. Kita  lihat, (bagaimana) anak-anak kita berupaya menggunakan dan berdebat dalam bahasa Melayu dengan cukup baik. 

"Ini adalah antara inisiatif KPM yang kita mahu lonjakkan dan perluaskan di semua peringkat sekolah. Selain itu, kita juga melihat keistimewaan Debat Generasi MADANI kerana pemilihan pendebat bukan sahaja mewakili negeri tetapi juga pelbagai sekolah," tambahnya.

Berkonsepkan debat ala parlimen, Pertandingan Debat Generasi MADANI Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 ini berlangsung pada 25 hingga 28 Sept lepas di UMPSA, disertai 16 pasukan debat daripada 80 pendebat terbaik pelbagai kaum daripada sekolah berbeza yang mewakili negeri masing-masing. 

Pertandingan ini, yang memperkenalkan format debat menarik dan mencabar, disesuaikan dengan institusi persekolahan sebagai pusat kecemerlangan, menurut Fadhlina, akan dijadikan program tahunan.

Majlis kemuncak debat menyaksikan pasukan Johor, yang bertindak sebagai pihak kerajaan, muncul juara dan membawa pulang piala, wang tunai RM5,000 serta sijil pencapaian, selepas menewaskan pasukan Kuala Lumpur yang bertindak sebagai pembangkang dengan usul 'Kesedaran Literasi Undang-Undang Masih Di Takuk Lama'.

Pendebat Terbaik Piala Menteri Pendidikan berjaya dirangkul Muhd Iqbal Hakimi Mohd Zaidi, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Zon R 1, Wangsa Maju dan membawa pulang wang tunai RM500, piala dan sijil pencapaian.

“Semasa di sekolah rendah, saya seorang introvert dan tidak tahu bagaimana berkomunikasi dengan kaum lain. Namun, semasa di sekolah menengah, cikgu Mohd Bakri Talib banyak membantu saya menceburi aktiviti kokurikulum seperti bahas, pantun, dan pidato sehingga saya berani berkomunikasi dengan pelbagai kaum,” katanya.

Sementara itu, Pendebat Terbaik Generasi MADANI dimenangi Varshini Manimaran, 16, pelajar SMK Bandar Putra, Kulai 2, Johor, melihat gelanggang debat sebagai platform terbaik menyuburkan keharmonian antara kaum dan menganggap rakan pasukannya daripada pelbagai kaum sebagai satu keluarga.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan