AM > BERITA

Negara Catat Sejarah Duduki Tangga Ke-33 Daripada 133 Negara Dalam GII 2024 - Chang

30/09/2024 04:59 PM

PUTRAJAYA, 30 Sept (Bernama) -- Malaysia telah mencatat sejarah dalam Laporan Indeks Inovasi Global (GII) 2024 dengan menduduki tangga ke-33 daripada 133 negara, sekali gus merekodkan pencapaian tertinggi sejak 2016, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.

Menyifatkan pencapaian ini sebagai pengukuhan kedudukan negara dalam landskap inovasi global itu, Chang berkata kejayaan itu merupakan peningkatan memberangsangkan setelah tiga tahun Malaysia kekal di tangga ke-36, bagi tempoh 2021 hingga 2023.

“Malaysia bukan sahaja berjaya memperkukuh kedudukan secara keseluruhan malah mengekalkan prestasi cemerlang dalam beberapa bidang utama.

“Malaysia kekal di tangga kedua bagi negara paling berinovatif dalam kategori Negara Berpendapatan Menengah Atas dan menduduki tempat pertama untuk tiga subindikator kritikal iaitu Graduan Dalam Sains dan Kejuruteraan, Eksport Berteknologi Tinggi dan Eksport Barangan Kreatif. Kuala Lumpur pula tersenarai dalam 100 Kluster Sains dan Teknologi Terbaik Dunia buat pertama kali, dengan menduduki tangga ke-93,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

GII, yang dikeluarkan oleh Badan Harta Intelek Dunia (WIPO), yang berpengkalan di Geneva, Switzerland, adalah indeks penting yang digunakan oleh negara dan syarikat multinasional untuk menilai ekosistem inovasi serta membantu dalam pembuatan dasar dan keputusan pelaburan.

Menzahirkan kebanggaan atas pencapaian itu, Chang mahu usaha memperkukuhkan bidang inovasi diteruskan, kerana ia menjadi penanda aras bagi membuktikan keupayaan negara untuk bersaing secara global terutamanya dalam bidang sains dan teknologi.

“Pencapaian ini adalah langkah penting ke arah menjadi negara berdaya cipta yang bertaraf dunia. Namun, usaha kita tidak boleh terhenti di sini, kita harus terus meneroka dan melabur dalam inovasi yang boleh diterjemahkan kepada kemajuan yang mampan dan berterusan bagi mencapai matlamat Ekonomi MADANI,” katanya.

Beliau berkata Malaysia perlu terus berusaha untuk meningkatkan pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), yang ketika ini mencatatkan Perbelanjaan Kasar Penyelidikan dan Pembangunan (GERD) pada kadar satu peratus sahaja.

Katanya, peratusan itu jauh di belakang negara maju seperti Korea Selatan yang mencatatkan 4.93 peratus manakala Jepun mencatatkan 3.41 peratus.

“Untuk mencapai sasaran kedudukan 30 teratas dunia menjelang 2025, Malaysia perlu memperhebatkan pelaburan dalam R&D. Kerajaan dijangka perlu melabur sekitar RM26 bilion setahun dan sektor swasta sebanyak RM60 bilion untuk mencapai sasaran GERD 3.5 peratus pada 2030,” katanya.

Berkongsi perancangan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang berkata kementerian itu akan melancarkan Malaysia Innovation Index (MII) tahun depan.

Beliau berkata MII merupakan satu platform yang akan mengukur tahap inovasi di setiap negeri bagi membolehkan pelaksanaan intervensi yang tepat untuk memperkukuh ekosistem inovasi di seluruh negara.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan