AM > BERITA

Revolusi AI Mengubah Pasaran Kerja, Wujudkan Peranan Baharu - Steven Sim

30/09/2024 05:29 PM

KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Revolusi  kecerdasan buatan (AI) bakal mewujudkan peranan baharu yang ketika ini jarang terdapat dalam pasaran kerja tetapi akan menjadi lebih penting pada masa hadapan, kata Menteri Sumber Manusia Steven Sim.

Sim berkata kemunculan peranan baharu antaranya pakar jentera pembelajaran, jurutera awan, penganalisis transformasi dan penerimaan digital serta pegawai kesejahteraan pekerja akan menjadi semakin penting seiring dengan perkembangan teknologi AI.

Beliau berkata kira-kira 16 peratus daripada 97 peranan pekerjaan sedia ada terutamanya dalam sektor kewangan kemungkinan akan terkesan dengan revolusi AI yang boleh menyebabkan berlaku pemindahan atau penggabungan jawatan tertentu.

“Dalam aspek ini, antara yang akan kita lihat ialah seperti pegawai perkhidmatan pelanggan, penasihat pelaburan dan penganalisis pelaksanaan, ejen jualan langsung dan pengurus pembangunan perniagaan,” katanya. 

Beliau berkata demikan ketika berucap pada pelancaran Persidangan dan Pameran Modal Insan Kebangsaan (NHCCE) 2024 anjuran Human Resource Development Corporation (HRD Corp) di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) Azman Mohd Yusof dan Pengerusi HRD Corp Datuk Abu Huraira Abu Yazid.

Dalam pada itu, Sim turut menekankan bagaimana AI telah mempercepatkan dengan ketara pelbagai proses kerja dalam agensi di bawah kementeriannya. 

Beliau mengambil contoh di HRD Corp, apabila proses kelulusan bagi permohonan geran yang biasanya mengambil masa hingga seminggu kini dapat dikurangkan kepada hanya sehari. 

“Secara tepatnya, AI telah memendekkan tempoh proses permohonan geran HRD Corp daripada 154 jam pada 2022 (meliputi sejumlah 239,776 permohonan) kepada hanya 19 jam pada 2023 (dengan 359,170 permohonan) 

“Contoh lain ialah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang sebelum ini memerlukan masa tiga hari untuk mengeluarkan surat jaminan (GL) kepada pencarum yang memerlukan rawatan perubatan percuma di hospital tetapi kini hanya mengambil masa sejam dengan bantuan AI,” katanya.

Sementara itu, NHCCE yang merupakan persidangan tahunan utama HRD Corp, diadakan bertujuan menggalakkan pendekatan moden dan inovatif dalam pembangunan modal insan dengan tema tahun ini “Menginsankan AI untuk Tenaga Kerja Masa Hadapan".

Persidangan tahun ini disertai lebih 300 pempamer yang menampilkan trend terkini dalam model peningkatan kemahiran, platform kesejahteraan pekerja dan teknologi terkini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan