AM > BERITA

Datasonic Kembangkan Perniagaan Ke Peringkat Global, Pelbagaikan Sumber Pendapatan

02/10/2024 03:47 PM

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Penyedia penyelesaian teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang berfokus pada keselamatan, Datasonic Group Bhd, sedang mempercepatkan usaha untuk mengembangkan perniagaannya secara global bagi mengukuhkan kehadirannya dan mempelbagaikan sumber pendapatan.

Pengarah Eksekutif Datasonic Datuk Ab Hamid Mohamad Hanipah berkata kumpulan itu sedang giat meneroka peluang baharu di beberapa rantau utama termasuk Asia, Afrika dan Timur Tengah dengan memanfaatkan kepakaran teknikal serta rekod pencapaian yang terbukti.

"Bagi menyokong pengembangan kami, Datasonic sedang menjalinkan kerjasama sinergi dengan rakan industri serantau dan tempatan untuk memacu pertumbuhan masa depan dan memberikan nilai yang lebih besar kepada para pemegang kepentingan.

"Selain daripada penyelesaian keselamatan negara, kami sedang mempertingkatkan kepakaran dalam sektor-sektor yang sedang berkembang termasuk menyediakan penyelesaian canggih selaras dengan permintaan global yang berkembang dalam kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber, analisis data dan bidang lain di mana kami mempunyai pengetahuan teknikal yang mendalam," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Datasonic telah menjadi penyedia eksklusif MyKad sejak 2012 dan penyedia utama kad kredit dan debit berasaskan cip Europay, Mastercard dan Visa (EMV) di Malaysia sejak 2003. Syarikat ini juga merupakan satu daripada pemain serantau yang mampu menghasilkan 100 peratus halaman data polikarbonat secara dalaman.

Ab Hamid menekankan bahawa Datasonic telah giat melaksanakan program dan inisiatif baharu di peringkat tempatan dan antarabangsa sepanjang tahun.

"Pada Mei, kumpulan ini memperoleh projek e-pasport luar negara yang pertama di sebuah negara di Afrika Barat yang menyerlahkan keupayaan teknikal kami yang kukuh terutamanya dalam pengeluaran dokumen polikarbonat secara dalaman.

"Kami juga telah berjaya membangunkan pasport yang mematuhi piawaian Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa yang menggabungkan reka bentuk dan ciri keselamatan terkini dalam masa yang singkat di mana kumpulan ini telah memulakan penghantaran e-pasport sejak September," jelasnya.

Selain itu, Datasonic memperoleh kontrak pada Julai untuk membekalkan kad pintar kepada Perum Percetakan Negara Republik Indonesia (PNRI), entiti percetakan milik negara di bawah Kementerian Badan Usaha Milik Negara Indonesia.

Kontrak bernilai RM30 juta selama tiga tahun ini akan mengukuhkan kedudukan Datasonic dalam pasaran e-pasport dan memanfaatkan kepakarannya dalam teknologi kad pintar.

"Kejayaan antarabangsa ini adalah sebahagian daripada strategi kami untuk memperluaskan perniagaan secara global dan mempelbagaikan aliran pendapatan. Kami terus melihat peluang yang luas di luar negara yang boleh kami manfaatkan," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan