AM > BERITA

Forum Serantau YaPEIM 2024: Pentadbir Masjid Perlu Diberi Latihan, Pengetahuan Secukupnya

02/10/2024 05:27 PM

PUTRAJAYA, 2 Okt (Bernama) -- Pihak pengurusan masjid di seluruh negara perlu diberi latihan serta pengetahuan dalam pengurusan yang secukupnya bagi membolehkan mereka mentadbir sesebuah masjid dengan telus dan efektif, kata Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Muhammad Farhan Wijaya.

Beliau berkata latihan yang secukupnya penting kerana pentadbir masjid kini bukan sahaja berperanan mengetuai masyarakat setempat berkaitan hal ehwal ibadah semata-mata, tetapi juga diberi tanggungjawab untuk menguruskan dana yang disalurkan kepada masjid. 

"Tanggungjawab sebagai pengurus masjid cukup besar. Kita tidak mahu kawan-kawan kita (pentadbir masjid) ini dapat surat lantikan, terus masuk kerja di masjid tetapi tidak tahu apa yang perlu dilakukan dari segi bagaimana urus kewangan misalnya.

"Untuk kita jadikan agamawan duduk sama rendah, berdiri sama tinggi, mereka juga perlu tahu dan diberi latihan berkenaan hal-hal pentadbiran," katanya pada forum bertajuk "Peranan Masjid dan Agensi Islam Dalam Pembangunan Ekonomi dan Komuniti" di sini hari ini.

Forum itu antara anjuran Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) sempena Forum Serantau YaPEIM 2024 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pandangan diutarakan moderator forum itu, Ahli Jawatankuasa Pembangunan Keusahawan dan Kepimpinan Pemikiran YaPEIM Datuk Dr Sheikh Ghazali Abod bahawa pentadbir masjid pada masa ini terbeban dengan pelbagai tugas.

Shekih Ghazali dalam kupasannya berkaitan isu itu berpendapat bahawa pentadbiran masjid perlu dibahagikan dengan mengasingkan tugas imam dan tugas pengurus masjid. 

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Dr Abdul Ghafar Ismail pula menyarankan majlis-majlis agama Islam di Malaysia mewujudkan satu ujian pengambilan bagi pentadbir masjid bagi memastikan individu betul-betul layak menggalas tanggungjawab itu. 

"Setakat ini saya lihat belum ada ujian untuk menentukan seseorang itu layak menjadi jawatankuasa pengurusan masjid," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan