AM > BERITA

JAS Pertingkat Kerjasama Dengan Agensi Terlibat Banteras Operasi e-waste

02/10/2024 05:41 PM

PUTRAJAYA, 2 Okt (Bernama) -- Jabatan Alam Sekitar (JAS) mempertingkatkan kerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi melaksanakan pemeriksaan ke atas kilang haram memproses sisa elektronik (e-waste).

Ketua Pengarah Alam Sekitar Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata tindakan berterusan akan dilaksanakan bersama agensi terlibat untuk membanteras kemasukan haram e-waste di pelabuhan negara.

Beliau berkata sisa elektronik  diklasifikasikan sebagai buangan berbahaya dan berjadual di bawah Konvensyen Basel dan pemindahan sisa itu dari satu negara ke negara lain melanggar undang-undang antarabangsa.

“Lambakan sisa elektronik di dalam negara kerana ia masuk secara haram melalui ikrar palsu dan dihantar ke kilang haram. Ini memang menjadi isu besar kebelakangan ini,” katanya dalam sesi interaktif bersama media di sini hari ini.

Wan Abdul Latiff berkata kerjasama berterusan JAS dengan agensi terlibat adalah untuk membanteras kemasukan sisa elektronik di pelabuhan dan pengoperasian kilang haram.

Beliau berkata kilang sisa elektronik yang dilesenkan hingga 30 April 2025 sebanyak 17 premis dan kilang separa sisa elektronik pula adalah 106 premis manakala kilang yang beroperasi secara haram 42 premis di seluruh negara.

Konvensyen Basel merupakan perjanjian antarabangsa yang mengawal pergerakan merentasi sempadan buangan berbahaya melalui prinsip Prior Informed Consent (PIC) dan negara pengeksport perlu mengemukakan notifikasi serta mendapat kebenaran bertulis dari negara pengimport terlebih dahulu sebelum sebarang pergerakan merentasi sempadan dilaksanakan. 

Mengenai kilang haram di Telok Gong, Klang Selatan, Wan Abdul Latiff berkata terdapat kira-kira 23 kilang yang didakwa haram tetapi semakan mendapati hanya tiga kilang beroperasi secara haram terlibat dalam aktiviti kitar semula plastik dan memproses tayar terpakai.

Berhubung Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024 yang telah diwartakan pada 6 Jun lepas dan berkuat kuasa 7 Julai, beliau berkata peningkatan denda dan penjara mandatori dijangka dapat mengurangkan kes pencemaran alam sekitar.

Antara intipati dalam pindaan itu ialah pemantapan hukuman penalti dengan julat kadar denda minimum tidak kurang daripada RM5,000, denda maksimum tidak melebihi RM10 juta, peningkatan kadar kompaun daripada tidak melebihi RM2,000 kepada tidak melebihi 50 peratus daripada denda maksimum kesalahan berkaitan.

Selain itu, hukuman penjara mandatori tidak melebihi lima tahun ke atas kesalahan melibatkan pelupusan haram buangan terjadual, pencemaran air dan ketidakpatuhan keperluan laporan Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA).

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan