AM > BERITA

12 Usahawan PKNS Sertai CAEXPO Di China

02/10/2024 09:52 PM

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Sebanyak 12 usahawan bimbingan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyertai China-ASEAN Expo (CAEXPO) 2024 di Nanning, China yang berlangsung dari 24 hingga 28 Sept lepas.

PKNS dalam kenyataan hari ini memaklumkan sebanyak RM250,000 diperuntukkan bagi penyertaan dalam ekspo perdagangan itu yang dijangka mampu membuka peluang perniagaan bernilai hingga RM10 juta kepada usahawan terbabit.

Antara syarikat menyertai pavilion PKNS pada ekspo yang berlangsung di Nanning International Convention and Exhibition Centre (NICEC) itu ialah Nimss Adeleciouz Sdn Bhd, Sparkles Group Sdn Bhd, BS Fitness Nutrition Sdn Bhd, Dunita International Sdn Bhd, My Innovatiive Wellness Sdn Bhd dan Pisango Sdn Bhd. 

"Penyertaan pertama di CAEXPO merupakan langkah strategik PKNS dalam menyokong usahawan di bawah bimbingannya. 

"Inisiatif ini bertujuan memperkenalkan produk dan perniagaan mereka, sambil meneroka potensi pasaran di peringkat antarabangsa serta eksport serantau khususnya pasaran China dan ASEAN amnya," menurut kenyataan itu.

PKNS memaklumkan CAEXPO berperanan sebagai platform yang berkesan bagi memadankan perniagaan dalam kalangan perusahaan, sektor perindustrian, serta dewan dan persatuan perdagangan di negara  ASEAN. 

Pameran itu turut mempermudah urusan perdagangan dan pelaburan dua hala sekali gus merangsang kerjasama ekonomi serantau.

Pavilion Malaysia di CAEXPO edisi ke-21 itu dirasmikan Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Menurut PKNS, walaupun perniagaan terasnya adalah pembangunan hartanah, namun perbadanan itu tetap komited menyokong inisiatif kerajaan negeri dalam membangunkan masyarakat di Selangor.

"Ini dibuktikan apabila selama 29 tahun, PKNS secara konsisten melaksanakan pelbagai program pembangunan usahawan sebagai inisiatif memperkukuh sektor keusahawanan sekali gus memastikan kelangsungan pertumbuhan ekonomi tempatan," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan