AM > BERITA

KDNK Sektor Pertanian Kelantan Menguncup 0.5 Peratus Tahun Lepas - DoSM

03/10/2024 07:28 PM

PASIR PUTEH, 3 Okt (Bernama) -- Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sektor pertanian Kelantan menguncup sebanyak 0.5 peratus atau RM5.61 bilion tahun lepas berbanding RM5.64 billion pada 2022.

Pengarah Jabatan Perangkaan (DOSM) Kelantan Abang Saifulhadi Abang Ibrahim berkata pengucupan itu berlaku disebabkan kemerosotan dalam subsektor perhutanan dan pembalakan.

Beliau berkata Kelantan mencatatkan peningkatan nilai KDNK 2.6 peratus atau RM27.6 bilion tahun lepas berbanding RM26.9 bilion pada 2022, namun dua sektor mengalami pengucupan iaitu pertanian (0.5 peratus) dan pembuatan 2.6 peratus.

"Ia menjadikan sektor pertanian menjadi penyumbang kedua terbesar KDNK Kelantan manakala sektor perkhidmatan menjadi penyumbang utama sebanyak RM19.8 bilion.

"Tiga sektor lain yang menyumbang kepada sosioekonomi Kelantan ialah sektor pembuatan RM1.27 bilion, pembinaan RM0.5 bilion dan perlombongan serta pengkuarian RM0.4 bilion," katanya selepas sesi turun padang bagi Pelaksanaan Banci Pertanian 2024 Peringkat Negeri Kelantan di Kebun Betik Callina Selising di sini hari ini.

Sementara itu, mengulas berhubung Bancian Pertanian 2024 yang bermula 7 Julai lepas, Abang Saifulhadi berkata sebanyak 82,867 (94.6 peratus) daripada keseluruhan 87,621 kediaman telah dibanci di seluruh Kelantan sehingga 1 Oktober tahun ini, manakala 280 daripada 420 pertubuhan perniagaan dilawati.

Banci itu bagi mengumpulkan data aktiviti pertanian yang akan dijadikan asas unjuran dalam penyediaan indikator sektor pertanian dan keterjaminan makanan negara, mengikut beliau.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan