AM > BERITA

PM Anwar Lakukan Lawatan Rasmi Ke Bangladesh Esok

03/10/2024 08:13 PM

DHAKA, 3 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi ke Bangladesh esok, atas jemputan Ketua Penasihat Kerajaan Sementara Dr Muhammad Yunus.

Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini berkata perdana menteri dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan pemenang hadiah Nobel, Muhammad Yunus, untuk berbincang dan mengukuhkan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Bangladesh, memupuk hubungan persahabatan antara bangsa.

"Perdana Menteri juga dijangka membuat kunjungan hormat ke atas Presiden Mohammed Shahabuddin sebelum berlepas ke Kuala Lumpur pada sebelah petangnya," menurut kementerian itu.

Anwar akan diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hassan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.

Sehingga akhir tahun lepas, terdapat 6,288 pelajar Bangladesh yang mengikuti pelbagai disiplin di institusi pengajian tinggi Malaysia.

Pekerja Bangladesh turut menyumbang dengan ketara kepada pembangunan ekonomi Malaysia sepanjang tahun.

Tahun lepas menyaksikan Bangladesh sebagai rakan dagangan ke-27 terbesar Malaysia, destinasi eksport ke-19 terbesar dan sumber import ke-47 terbesar, menjadikannya rakan dagangan kedua terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Selatan.

Tahun lepas juga menyaksikan jumlah perdagangan antara Malaysia dan Bangladesh mencecah RM12.7 bilion (US$2.78 bilion), penurunan 35.5 peratus daripada RM19.69 bilion (US$4.46 bilion) pada tahun 2022. 

Bagaimanapun perdagangan berkembang pada separuh pertama tahun ini, menunjukkan peningkatan 18.1 peratus kepada RM8.27 bilion (US$1.75 bilion) berbanding tempoh yang sama tahun lepas. 

Selain itu imbangan perdagangan yang memihak kepada Malaysia menyaksikan peningkatan yang ketara dalam tempoh ini, mencecah RM6.65 bilion (US$1.39 bilion).

Perdana Menteri ketika ini di Pakisten untuk lawatan negara selama tiga hari.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan