AM > BERITA

Sentiasa Semak Ketulenan Akaun, Kandungan Media Sosial - Fahmi

06/10/2024 04:53 PM

KANGAR, 6 Okt (Bernama) -- Rakyat diminta untuk sentiasa berwaspada dengan hantaran yang dimuat naik menerusi media sosial bagi mengelak menjadi mangsa penipuan atau terpedaya dengan niat jahat pihak tidak bertanggungjawab.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata setiap individu perlu mengesahkan sama ada sesuatu akaun itu dimiliki oleh individu sebenar dan sama ada kandungan yang dikongsikan itu sesuatu yang benar.

“Kita lihat ada penyalahgunaan aplikasi kecerdasan buatan (AI) untuk melakukan AI ‘deepfakes’ (imej palsu)… seolah-olah (isteri Perdana Menteri) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail atau pun (Perdana Menteri) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bercakap atau pun mana-mana pimpinan yang lain, atau pun juga kita punya penyanyi tersohor seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza.

“Jadi kita kena sahkan dulu akaun tu milik siapa? Betul ke akaun itu adalah akaun yang rasmi atau pun ia akaun palsu, akaun impersonator (penghibur pengajuk),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kita MADANI Peringkat Perlis di sini hari ini.

Beliau turut mengingatkan pengguna supaya tidak mudah percaya dengan sesuatu kandungan menerusi media sosial kerana ia mungkin kandungan lama yang disebarkan semula atau yang telah disunting dan tidak menggambarkan konteks sebenar.

Fahmi berkata seringkali tersebar kandungan berbentuk video yang disunting pihak tidak bertanggungjawab yang berniat ‘menangguk di air keruh’ atau bertujuan menimbulkan syak wasangka dalam kalangan masyarakat.

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata beliau telah mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa untuk meneliti struktur Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) untuk dilakukan penyelarasan.

“Penyelarasan itu dari sudut perjawatan, dari segi organisasi. Kita berhasrat untuk memindahkan secara fizikal pejabat JKOM balik ke kementerian, maksudnya fungsinya kita akan teliti semula,” katanya ketika diminta mengulas berhubung pelantikan Ketua Pengarah JKOM baharu.

Beliau menambah setakat ini pelantikan bagi mengisi jawatan terbabit masih belum diputuskan dan tugas Ketua Pengarah JKOM dipangku oleh timbalannya.

Pada 25 Sept lepas, Fahmi mengesahkan Ketua Pengarah JKOM Mohd Khairuddin Othman telah ditamatkan perkhidmatan pada 24 Sept.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan