AM > BERITA

Kampung Angkat MADANI JPA, Nafas Baharu Buat Pulau Aman

06/10/2024 05:49 PM

BATU KAWAN, 6 Okt (Bernama) -- Pelaksanaan beberapa projek fizikal oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) termasuk menaik taraf kemudahan asas menerusi program Kampung Angkat MADANI  memberikan nafas baharu buat perkampungan nelayan Pulau Aman di sini.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Datuk Dr Anesee Ibrahim berkata inisiatif itu bukan sahaja dapat meningkatkan kualiti hidup penduduk malah berupaya mengubah landskap dengan menjadikan‬ Pulau Aman sebagai‬‭ pulau‬‭ pelancongan, seni dan warisan yang‬‭ berdaya‬ saing.

“JPA‬‭ telah‬‭ menerima peruntukan RM2.5 juta dari Kementerian Kewangan (MOF) untuk melaksanakan projek Kampung Angkat MADANI dan kita telah membelanjakan RM2.32‬‭ juta‬‭ bagi projek‬‭ fizikal‬‭ dan‬‭ dua‬‭ skop‬‭ projek‬‭ bukan‬‭ fizikal.‬ 

“Setakat‬‭ ini,‬‭ tujuh‬ projek‬‭ fizikal telah selesai‬‭ dilaksanakan‬ iaitu membaik pulih tandas awam, membaik pulih gelanggang permainan, menaik taraf pusat pengumpulan sampah, menaik taraf jeti, membaik pulih longkang, pemasangan lampu jalan dan menaik taraf dewan serba guna,” katanya.

Beliau berkata demkian pada Majlis Penyerahan Projek Fizikal Kampung Angkat MADANI Pulau Aman dan Program MyKP yang turut dihadiri Ketua Pengarah Perikanan Datuk Adnan Hussain.

Anesee menambah dua skop bukan fizikal telah dilaksanakan merangkumi keceriaan kampung melibatkan penambahbaikan infrastruktur, pengindahan taman permainan kanak-kanak serta lukisan mural di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Aman, mengecat Masjid Ar-Rahman dan pembersihan pesisir pantai.

Bagi perkhidmatan sosial dan insaniah pula, beliau berkata sesi ramah mesra bersama pesara dan pelbagai kursus seperti pendigitalan pendidikan, penggunaan Microsoft Office dan Canva selain kursus pembangunan modal insan seperti Pengurusan Inap Desa dan kursus bahasa telah dianjurkan oleh Kampus INTAN Wilayah Utara.

Sementara itu, sebagai langkah awal untuk membangunkan Pulau Aman sebagai hab pelancongan, Anesee berkata JPA dengan kerjasama Jabatan Perikanan (DOF), Komuniti Perikanan Pulau Aman (MyKP), Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Selatan (SPS) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) menganjurkan Pertandingan Memancing MyKP (Komuniti Perikanan) Pulau Aman 2024.

Selain itu, sebanyak‬‭ 1,600‬‭ ekor‬‭ benih‬‭ ikan‬‭ siakap,‬‭ 1,000‬‭ ekor‬‭ benih‬‭ ikan‬‭ jenahak‬‭ dan‬‭ 1,000‬‭ ekor‬‭ udang‬‭ kaki‬‭ merah turut dilepaskan di‬‭ pesisir‬‭ pantai‬‭ Pulau‬‭ Aman‬‭ yang dapat‬‭ memberi‬‭ manfaat‬‭ kepada‬‭ nelayan‬‭ komuniti‬‭ myKP‬‭ Pulau‬‭ Aman‬ dengan nilai‬‭ pasaran‬‭ runcit‬‭ ikan‬‭ RM110,000‬‭ melalui‬‭ aktiviti‬‭ pengkayaan‬ sumber perikanan.

Kampung Angkat MADANI merupakan inisiatif Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Belanjawan 2024 untuk meningkatkan capaian kemudahan asas secara holistik menerusi pendekatan Whole of Government.

Pulau Aman merupakan sebuah perkampungan nelayan tradisional seluas 116.5 hektar, terletak kira-kira lapan kilometer (km) dari Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dan didiami 250 penduduk daripada 47 keluarga.

Pulau itu dihubungkan jalan laut melalui Jeti Batu Musang di Batu Kawan dengan menaiki bot tambang kira-kira 10 minit perjalanan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan