AM > BERITA

Pakistan, Bangladesh Kagum Dengan Keamanan Malaysia Di Sebalik Kepelbagaian Agama - Anwar

06/10/2024 05:59 PM

SUNGAI SIPUT, 6 Okt (Bernama) -- Pakistan dan Bangladesh memberikan penghormatan yang tinggi kepada Malaysia kerana mampu mengekalkan keamanan walaupun rakyatnya terdiri daripada pelbagai agama, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata penghormatan tersebut diterima ketika lawatan negara beliau ke Pakistan dan lawatan rasmi ke Bangladesh, baru-baru ini. 

“Mereka (pemimpin Pakistan dan Bangladesh) beri penghormatan yang tinggi buat Malaysia, bukan sebab Anwar, jangan salah faham tetapi kerana negara ini aman. Mereka sedar bahawa negara ini ada Muslim, Hindu, Sikh, Buddha, Kristian, namun tetap aman dan kita bangga dengan itu.

“Mereka tanya kenapa? Kita berikan jaminan, jika ada yang tidak puas hati, kita sediakan ruang untuk mendengar dan berbincang,” katanya ketika berucap merasmikan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Heawood di sini, hari ini.

Lawatan Perdana Menteri ke Pakistan selama tiga hari bermula 2 Okt lepas dinaik taraf daripada lawatan rasmi kepada lawatan negara.

Dalam lawatan itu, Anwar antaranya bertemu rakan sejawatan beliau Shehbaz Sharif serta mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Pakistan Asif Ali Zardari.

Pada 4 Okt, Anwar melakukan lawatan rasmi sehari ke Bangladesh dan bertemu Ketua Penasihat Kerajaan Sementara Bangladesh Dr Muhammad Yunus serta mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Mohammed Shahabuddin.

Mengulas lanjut, Anwar berkata dalam pertemuan dengan Muhammad, beliau menasihati rakannya itu supaya sentiasa menjaga kebajikan setiap rakyat tanpa mengira latar belakang agama bagi menjamin keamanan negara.

Katanya Muhammad memberi jaminan: "Kamu telah mengenali saya selama 50 tahun, saya tidak pernah berkompromi dalam isu-isu keamanan, keselamatan, dan kemanusiaan. Oleh itu, menjadi tanggungjawab saya bersama pasukan tentera untuk memastikan tiada diskriminasi, tiada intimidasi terhadap sesiapa."

Muhammad kini mengetuai kerajaan sementara yang dibentuk pada Ogos lalu selepas Perdana Menteri Sheikh Hasina meletak jawatan dan melarikan diri ke India.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan