AM > BERITA

Fiesta Loma 2024 Tarik Lebih 6,000 Pengunjung

06/10/2024 06:09 PM

GERIK,  6 Okt (Bernama) -- Lebih 6,000 pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat hadir memeriahkan Fiesta Loma 2024 di Sungai Rui di sini yang berlangsung tiga hari bermula Jumaat lepas dengan pelbagai aktiviti menarik.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan Perak Datuk Salbiah Mohamed berkata pesta menangkap ikan loma itu turut disertai oleh petugas agensi dan jabatan kerajaan selain peserta dari negara jiran Thailand. 

Beliau berkata acara itu dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti seperti berakit, sukan rakyat, pertandingan memasak ikan loma, pertandingan pukul bantal, panjat tiang licin, basikal jambatan, panjat tiang licin serta persembahan muzik jalanan dan wayang pacak.

“Fiesta Loma yang dianjurkan sejak 2014 bukan sahaja bertujuan mempromosikan keunikan ikan loma  tetapi untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan komuniti setempat.

“Ikan loma ini enak apabila dijadikan pekasam dan setiap tahun antara penghujung September hingga November ikan ini akan mudik ke hulu Sungai Rui dari Sungai Perak untuk bertelur,” katanya ditemui selepas Majlis Perasmian Penutup Fiesta Loma 2024 di Dataran Loma di sini hari ini.

Majlis penutup itu disempurnakan Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa 

Salbiah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Temengor berkata pihaknya mengambil kesempatan menganjurkan pesta tersebut kerana Oktober adalah waktu paling banyak ikan loma di Sungai Rui dan acara itu akan diteruskan pada masa akan datang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan