AM > BERITA

Banjir: Jumlah Mangsa Di Selangor Dan Perak Menurun, Kedah Meningkat

06/10/2024 06:31 PM

KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Selangor dan Perak menunjukkan penurunan manakala di Kedah meningkat petang ini, selain dua PPS dibuka di Johor ekoran banjir kilat di Kluang.

Di SELANGOR, situasi banjir menunjukkan perkembangan positif dengan pengurangan mendadak hingga 277 orang daripada 56 keluarga berada di PPS berbanding 909 orang pagi tadi. 

Portal InfoBencanaJKM melaporkan tiga PPS masih beroperasi iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Ijok dan SK Bukit Badong, di Kuala Selangor yang menempatkan 146 mangsa manakala 131 lagi di Dewan Majlis Perbandaran Selayang Sri Kundang, Gombak. 

Di PERAK, jumlah mangsa banjir juga semakin menurun iaitu 225 daripada 61 keluarga pada petang ini, berbanding 231 orang daripada 77 keluarga pagi tadi, selepas dua PPS ditutup pada tengah hari tadi. 

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) menerusi kenyataan memaklumkan di daerah Kerian, sebanyak 104 orang berlindung di PPS SK Changkat Lobak dan SK Parit Haji Aman, Bagan Serai. 

Di daerah Larut, Matang dan Selama pula 45 orang daripada 14 keluarga berada di PPS SK Matang, manakala di daerah Hilir Perak 76 mangsa daripada 17 keluarga di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak. 

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan semua daerah di Perak mengalami ribut petir atau hujan pada petang dan malam ini.

Sementara itu, di KEDAH, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 162 orang daripada 53 keluarga setakat 4 petang berbanding 80 orang daripada 26 keluarga pagi tadi.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata kesemua mangsa dari Kubang Pasu ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun yang dibuka pada 2.30 pagi tadi.

“Semua mangsa merupakan penduduk Kampung Nangmah, Kampung Belakang Sekolah Dato Kembara, Kampung Kubang Kayu, Kampung Paya Lantau, Kampung Paya Nongmi, Kampung Belukar, Kampung Bendang Tok Leh dan Kampung Padang Halban,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan Sungai Laka di Kampung Padang Pasir, Kubang Pasu; Sungai Perik di Kampung Perik, Padang Terap serta Sungai Anak Bukit di Taman Aman dan di Jambatan TAR serta Sungai Kedah di Jambatan Lebuhraya, Kota Setar telah melepasi paras bahaya.

Di JOHOR, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata hujan lebat lebih dua jam di Kluang hari ini menyebabkan 116 orang daripada 36 keluarga dipindahkan ke PPS selepas kediaman mereka dinaiki air. 

Mereka terdiri daripada penduduk Taman Suria, Taman Rekamas dan Kampung Seri Tengah Renggam dengan 68 orang daripada 20 keluarga dipindahkan ke PPS SK Dato' Onn Jaafar, manakala bakinya SK Seri Kampung Renggam. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan