AM > BERITA

Rafidah Aziz Lancar Buku 'Fathers And Their Wisdom’

22/10/2024 05:49 PM

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Rafidah Aziz hari ini menyeru anak-anak agar menghargai dan menghormati ibu bapa semasa mereka masih hidup, jangan sampai terlambat.

Bercakap pada majlis pelancaran buku bertajuk 'Fathers and Their Wisdom', kompilasi 26 bab hasil tulisan 29 pengarang yang mengutarakan isu-isu warisan, kebijaksanaan, dan nilai yang diturunkan kepada anak-anak, beliau menekankan kepentingan nilai-nilai kekeluargaan dan mengekalkan hubungan yang erat dengan ibu bapa. 

“Kita mesti menghargai ibu bapa kita sekarang, bukan kemudian. Ia bukan semata-mata mengucapkan ‘terima kasih’ setiap hari kepada mereka, tetapi menunjukkan rasa hormat dan perhatian yang sewajarnya semasa mereka masih bersama kita,” katanya.

Beliau seterusnya mengeluh semasa menyentuh soal kemerosotan hubungan kekeluargaan dalam masyarakat hari ini, apabila sesetengah anak jarang sekali menjenguk ibu bapa mereka.

“Ada yang tidak melawat walaupun sekali dalam sebulan. Apakah jenis budaya ini?” katanya sambil menambah bahawa pengabaian itu bertentangan dengan nilai-nilai yang dimiliki ramai.

Rafidah seterusnya berkongsi nasihat ibunya, mengenai kepentingan menjalani kehidupan yang berkat, dan bukannya mementingkan kekayaan material.

“Ibu saya selalu cakap begini: “Biar sikit, asal berkat” yang bermakna walaupun sedikit mana, biarlah ia diberkati,” katanya.

Sementara itu Rafidah dalam merujuk berkenaan perkembangan dinamik antara ibu bapa dan pendidik berkata, semasa generasinya, ibu bapa benar-benar mempercayai guru untuk mendisiplinkan anak-anak mereka, namun menurutnya ia tidak lagi berlaku hari ini.

"Pada masa yang lepas ibu bapa memberitahu guru, 'buat apa yang anda perlu lakukan' kerana mereka mempercayai guru itu. (tetapi) Sekarang jika anak dimarahi, ibu bapa membawa perkara itu ke media sosial dan mengkritik guru,” katanya.

Beliau menggesa ibu bapa dan pendidik untuk bekerjasama dalam memupuk generasi akan datang dengan menerapkan nilai-nilai penting seperti kejujuran, integriti, merendah diri dan menghormati orang lain, tanpa mengira bangsa, agama atau latar belakang.

‘Fathers and Their Wisdom’ disunting oleh Datuk Halimah Mohd Said, Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican, Fauziah Kamaruddin dan Dr Shameem Abdul Jalil.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan