AM > BERITA

Pesta Sukan Air Kuala Kangsar 2024 Ditunda

22/10/2024 05:43 PM

IPOH, 22 Okt (Bernama) -- Pesta Sukan Air Kuala Kangsar 2024 sempena Sambu8tan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Perak dijadual pada 26 dan 27 Okt ini ditunda ke satu tarikh lain atas faktor banjir serta peningkatan paras air sungai di Perak.

Sekterariat pesta itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan penundaan program berkenaan juga mendapat perkenan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

“Keputusan penundaan ini diambil dengan penuh pertimbangan. Baginda amat memahami kekecewaan dirasai oleh seluruh rakyat, khususnya para peserta dan pengunjung yang telah lama menantikan pesta ini. 

“Keputusan ini juga diambil setelah mempertimbangkan situasi semasa seperti kejadian banjir, hujan lebat di beberapa kawasan yang menyebabkan peningkatan paras air sungai di Perak, maka adalah tidak sesuai bagi kita untuk berpesta ria ketika masyarakat sedang mengharungi saat sukar,” menurut kenyataan itu.

Pada 14 Okt lepas, media melaporkan Pesta Air Kuala Kangsar 2024 akan kembali selepas kali terakhir dianjurkan pada 2009, sekali gus merancakkan lagi Tahun Melawat Perak (TMP).

Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jeneral (B) Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk temasya itu pada sidang media berkata penganjuran pesta itu adalah bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Nazrin pada November depan termasuk meraikan ulang tahun ke-10 pemerintahan Baginda, yang menaiki takhta pada 2014.

Sementara itu, sekretariat pesta turut memaklumkan pihak penganjur memohon maaf atas segala kesulitan terpaksa ditanggung semua pihak akibat daripada penundaan temasya berkenaan.

Justeru, sekretariat pesta itu memaklumkan sebarang bentuk perubahan dan perkembangan terkini berhubung pesta berkenaan akan dikemas kini dalam mana-mana saluran rasmi dan medium media sosial.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin pada sidang media berkata segala keputusan berkenaan penganjuran pesta itu hanya ditentukan oleh jawatankuasa penganjur setelah mendapat syor daripada agensi berkaitan.

"Keputusan penangguhan akan ditentukan oleh penganjur sendiri setelah mendapat nasihat daripada agensi yang menganggotai jawatankuasa penganjur," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan