AM > BERITA

Unit Kombo AirAsia Kurangkan Pelepasan Karbon 20,000 Tan Setahun

22/10/2024 06:37 PM

SEPANG, 22 Okt (Bernama) -- Pengenalan teknologi sokongan darat terkini Unit Kombo oleh AirAsia dijangka mengurangkan pelepasan karbon dioksida (CO2) anggaran 20,000 tan setahun, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau memuji AirAsia kerana menjadi syarikat penerbangan pertama di Malaysia mengguna pakai teknologi inovatif Unit Kombo berkenaan iaitu Unit Kuasa Darat (GPU) dan Unit Penyaman Udara (ACU).

Penggunaan Unit Kombo bukan sahaja akan mengurangkan 90 peratus CO2 setiap transit malah membantu syarikat penerbangan mengurangkan kos lebih 40 peratus.

“Dengan penempatan empat Unit Kombo pertama AirAsia bulan ini, syarikat penerbangan itu dijangka menjimatkan lebih 3,000 tan CO2 setahun.

“Saya difahamkan AirAsia merancang untuk menempatkan 20 unit lagi di seluruh negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 dan semua hab domestik utama menjelang akhir 2025,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Unit Kombo AirAsia, di sini hari ini.

Loke berkata AirAsia dijangka mengurangkan pelepasan karbon berasaskan darat sebanyak 20,000 tan setahun selepas pelaksanaan sepenuhnya Unit Kombo.

Beliau berkata inisiatif oleh syarikat penerbangan tambah murah itu akan turut meningkatkan kualiti udara di sekitar pesawat sekali gus mewujudkan persekitaran kerja yang lebih baik untuk juruteknik dan kakitangan.

“Hari ini, kita menyaksikan demonstrasi menghidupkan pesawat yang diparkir menggunakan GPU di lapangan terbang, bukannya membakar bahan api jet, untuk memastikan lampu dan penyaman udara hidup.  

"Hasilnya, syarikat penerbangan dapat mengurangkan penggunaan bahan api, mengurangkan pelepasan karbon dan menambah baik kecekapan kos," katanya.

Loke berkata AirAsia sedang mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam memacu kemampanan dalam sektor penerbangan di samping memenuhi kewajipan penyahkarbonan nasional dan antarabangsa termasuk Skim Pengimbangan dan Pengurangan Karbon untuk Penerbangan Antarabangsa (CORSIA).

“Malaysia amat komited untuk mencapai pertumbuhan mampan dalam sektor penerbangan dan komitmen ini terkandung dalam Pelan Hala Tuju Penyahkarbonan Sektor Penerbangan Malaysia (MADB).

“Strategi komprehensif ini menyediakan laluan yang jelas untuk sektor itu mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050, memastikan sektor penerbangan Malaysia dapat terus berkembang secara lestari sambil mengurangkan impak alam sekitar,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan