AM > BERITA

Pengisian AKP Naik 92 Peratus, Bantu Kurangkan Beban Guru

22/10/2024 07:49 PM

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Pengisian perjawatan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) bagi tahun ini setakat Oktober meningkat kepada 92 peratus berbanding 84 peratus tahun lepas, kata Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh.

Beliau berkata Kementerian Pendidikan (KPM) berusaha mengoptimumkan pengisian kekosongan jawatan AKP sebagai usaha meminimumkan tugasan pengurusan dan pentadbiran bukan profesional kepada guru.

“KPM terus komited melaksanakan usaha terbaik dalam menjaga kebajikan guru sepanjang perkhidmatan dan sentiasa memastikan pengurusan di sekolah lebih efisien dan teratur,” katanya pada sesi Kamar Khas Dewan Rakyat hari ini. 

Beliau menjawab usul yang dikemukakan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) yang membangkitkan masalah perkeranian dalam kalangan guru yang masih belum selesai sehingga membebankan serta mengganggu tugas hakiki untuk mengajar.

Bagi memastikan guru melaksanakan tugas yang relevan, Wong berkata KPM mewujudkan Modul Tadbir Urus Sekolah (MySG) bermula 2021 yang menghimpunkan pelbagai punca kuasa merangkumi pelbagai peringkat perjawatan bagi mengelakkan kekaburan serta pertindihan fungsi dan tanggungjawab guru di sekolah.

Beliau berkata kementerian juga mengambil pendekatan holistik dalam memastikan guru kekal bermotivasi menerusi tujuh langkah kesejahteraan guru termasuk pemansuhan sambutan atau majlis di semua peringkat yang tidak memberi impak besar terhadap pembelajaran dan mengurangkan semakan elemen pengurusan sekolah Standard Kualiti Pendidikan Malaysia.

Inisiatif itu turut meliputi pengisian data kehadiran murid yang fleksibel, pelantikan Pengawas Peperiksaan Awam diperluas kepada orang awam, mengehadkan sambutan hari guru kepada peringkat kebangsaan dan sekolah, penulisan Rancangan Pengajaran Harian hanya merangkumi elemen objektif, pengajaran dan refleksi selain guru diberi autonomi untuk merancang dan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan