AM > BERITA

Bahagian 2: Keluarga Terus Bergelut Selepas Dana Latihan Juruterbang Bernilai Berjuta-juta Lesap

23/10/2024 10:31 AM

Oleh Wan Muhammad Aslah Wan Razali

(Bahagian kedua siasatan ini terus menyoroti kisah mereka yang teraniaya, tindakan undang-undang yang masih berjalan, serta kekecewaan mereka terhadap tindakan MARA yang dilihat tidak memadai. Kesan kewangan dan emosi akibat penyelewengan ini begitu ketara, dan keluarga mangsa terus berjuang dengan penuh tekad untuk menuntut keadilan dan akauntabiliti.)

 

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Lebih kurang 50 bakal juruterbang Malaysia dan keluarga mereka mengalami kerugian kewangan yang serius selain kekecewaan besar apabila Skyvax Holdings Sdn Bhd mengkhianati kepercayaan yang diberikan kepadanya dalam menguruskan latihan penerbangan di luar negara. 

Dalam bahagian pertama kisah ini, kami mendedahkan bagaimana sebuah syarikat Bumiputera yang menyelaraskan latihan penerbangan di Republik Czech, yang pernah diraikan kerana pengiktirafan dan hubungan antarabangsanya, kini didakwa menyalah urus lebih RM21 juta dana pelatih penerbangan. 

Bahagian kedua ini memberi penerangan akan mereka yang teraniaya selain bukti baharu dan cabaran undang-undang yang rumit, apabila mangsa-mangsa bersatu dalam usaha mencari keadilan serta harapan untuk menuntut semula pelaburan mereka yang hilang.

Seorang bapa kepada juruterbang pelatih yang mendaftar dalam program Skyvax, hanya dikenali sebagai Ganesan, 53, mengambil pinjaman peribadi sebanyak RM200,000 daripada Affin Bank dan menambah RM159,000 lagi daripada dananya sendiri untuk membiayai latihan anaknya Sasvien, 23, di CATC, Prague.

“Ini tiada kaitan dengan pandemik COVID-19 kerana pada masa itu, syarikat menekan saya untuk terus membayar latihan anak saya di Prague. Saya telah membayar sejumlah RM359,000,” katanya.

“Tetapi kemudian CATC tiba-tiba menghubungi saya, mengatakan anak saya tidak dapat meneruskan latihannya lagi kerana wangnya tidak diterima,” tambahnya.

Disebabkan kekurangan dana, anaknya terpaksa pulang ke Malaysia, dan Ganesan masih membayar pinjaman bank setiap bulan.

“Disebabkan syarikat ini, setiap bulan saya membayar RM2,000 hanya untuk pinjaman ini, yang benar-benar membebankan saya,” katanya mengeluh.

Ganesan juga menyebut bahawa anaknya masih belum memiliki lesen penerbangan dan kini bekerja dengannya dalam bidang pembinaan.

Beliau berkata beberapa ibu bapa yang menghadapi masalah yang sama telah berhubung dan mewujudkan kumpulan WhatsApp untuk berkongsi keluhan mereka dan sentiasa dimaklumkan mengenai situasi itu. 

Melalui kumpulan ini, mereka secara kolektif memutuskan untuk membuat laporan polis terhadap syarikat itu pada 5 Feb 2022, di Balai Polis Bukit Jelutong, Shah Alam. 

Ganesan, yang anaknya dibiayai sendiri dan oleh itu layak membuat laporan polis, dan membuatnya pada 9 Feb 2022, di Balai Polis Pelangi Indah, Ulu Tiram, Johor, tempat beliau tinggal. 

Apa yang mengecewakannya adalah MARA tidak sama-sama berjuang dengan mereka.

Beliau melahirkan kekecewaannya kerana MARA tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat itu. Menurutnya, jika organisasi sebesar MARA campur tangan, ia akan memberikan lebih keyakinan kepada ibu bapa pelajar yang membiayai sendiri pengajian, untuk memperkukuh kes mereka.

Beliau mendakwa apabila MARA membayar tunggakan kos pengajian pelatih di bawah tajaan mereka, ibu bapa pelatih berkenaan tidak lagi meneruskan apa-apa tindakan kerana masalah mereka telah selesai, dan mereka mahu anak-anak mereka menamatkan latihan penerbangan.

Ganesan, dalam mengimbas kembali perbualannya dengan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat itu untuk mendapatkan semula wangnya, berkata beliau diberitahu bahawa syarikat itu telah menggunakan semua dana. 

Memandangkan anaknya belum menamatkan latihannya, sepatutnya ada baki yang tinggal. Bagaimanapun, CEO itu mendedahkan bahawa syarikatnya telah menggunakan keseluruhan baki dana sehingga mereka tidak dapat memulangkan semula wang kepadanya.

Zamzuri Hashim, 52, mendaftarkan anaknya Zikri Fadli, 25, di bawah syarikat itu pada 2019. Anak lelakinya adalah antara beberapa kumpulan terdahulu yang dihantar ke CATC di Prague. 

Dia membayar syarikat itu kira-kira RM125,000 untuk menampung perbelanjaan semester pertama anaknya di CATC, termasuk yuran penginapan. Selepas itu, syarikat itu memintanya membayar jumlah penuh RM465,000.

“Anak saya masih mengikuti pelajaran teorinya di Prague sehingga awal 2021 apabila wabak COVID-19 bertambah buruk, dan dia kembali ke Malaysia,” katanya kepada Bernama. 

Bagaimanapun, anaknya tidak dapat pulang ke Prague untuk meneruskan latihannya kerana syarikat itu tidak membayar baki pengajian kepada CATC. 

Zamzuri berkata beliau ada mengadakan pertemuan dua kali dengan seorang daripada pemilik utama syarikat itu, yang terbaru pada Jun 2023. Individu itu terus berdolak-dalih untuk menyelesaikan perkara berkenaan. 

“Saya sangat tegas tentang mendapatkan bayaran balik, dan dia terus mengatakan bahawa dia tidak mampu membayar saya. Tidak lama selepas itu, saya mendapat tahu dia pergi ke luar negara dan berseronok menaiki helikopter, yang tidak masuk akal, kata” Zamzuri.

Zamzuri juga cuba menghubungi beberapa pengarah syarikat itu, termasuk bekas CEO syarikat itu. 

“Tidak masuk akal untuk dia berkata demikian kerana jika semua orang, walaupun CEO, ditipu, siapa yang harus dipersalahkan dan bertanggungjawab ke atas syarikat ini?” tanya beliau.

Jack Goh adalah salah seorang lagi pelatih Malaysia yang mendaftar dengan syarikat itu tetapi tidak dapat menamatkan latihan juruterbangnya kerana kegagalan syarikat membayar CATC. 

Beliau telah mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat itu, mengupah seorang peguam untuk menyerahkan notis kepada pemilik syarikat. Bagaimanapun, peguamnya perlu memberikan bukti bergambar yang menunjukkan pemilik syarikat menerima dokumen undang-undang itu. 

“Bukti bergambar akan dikemukakan kepada hakim mahkamah supaya hakim boleh meneliti akaun bank pemilik. Tanpa bukti ini, mahkamah tidak boleh mengambil sebarang tindakan,” jelasnya.

Goh, seorang pelatih yang dibiayai sendiri, membuat laporan polis pada Februari 2022. Jumlah kerugiannya yang dialaminya berjumlah RM200,000, iaitu baki yuran yang sepatutnya dibayar untuk melengkapkan latihan juruterbangnya di CATC. 

“Saya berjaya menamatkan latihan penerbangan saya, terima kasih kepada ibu bapa saya yang terpaksa menokok dana bagi saya dan menampung perbelanjaan lain. Pada masa ini, saya memiliki lesen juruterbang tetapi masih mencari kerja juruterbang," jelas Goh

Dia berharap tindakan undang-undang atau keadilan oleh pihak berkuasa, yang mempertanggungjawabkan syarikat itu, akan membantu mendapatkan balik sebahagian daripada dana yang perlu ditokok oleh ibu bapanya semasa latihan penerbangannya.

Bahagian 3 menyelidiki mengapa tiada tindakan di pihak MARA dalam episod itu, selain jawapan daripada bekas pengarah syarikat dan keterangan daripada seorang bekas pekerja. Episod Skyvax ini juga menimbulkan persoalan tentang akauntabiliti dan keadilan dalam sektor pembiayaan pendidikan dan latihan penerbangan di Malaysia yang masih belum terjawab.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan