AM > BERITA

Agenda Pembangunan Mampan 2030, Teras Penyediaan RMK13 - Hanifah

24/10/2024 07:56 PM

PUTRAJAYA, 24 Okt (Bernama) -- Agenda Pembangunan Mampan 2030 dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) akan terus menjadi teras penyediaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kata Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib.

Beliau berkata perkara berkenaan, selaras dengan seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengintegrasikan SDG ke dalam dasar pembangunan nasional.

“Kesedaran mengenai SDG haruslah terus ditingkatkan, terutama dalam kalangan masyarakat.

“Aspek seperti kemampanan, kesejahteraan, persekitaran yang terjamin dan perubahan iklim perlulah diberi perhatian dalam merangka RMK13 selaras dengan Ekonomi MADANI,” katanya ketika berucap pada sesi libat urus RMK13 Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

RMK13 merupakan kesinambungan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi tempoh 2021 hingga 2025.

Sebelum ini, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata Kementerian Ekonomi telah memulakan gerak kerja RMK13, yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada suku ketiga 2025.

Sementara itu, Hanifah berkata RMK13 akan dirangka dengan mengambil pendekatan yang lebih ringkas, menyeluruh dan berasaskan ‘kanvas kosong’.

Beliau berkata RMK13 akan menjadi dokumen strategik yang direka untuk menghadapi cabaran ekonomi dan ia akan mudah difahami oleh semua rakyat Malaysia.

“Kementerian Ekonomi percaya dalam RMK13, kita tidak seharusnya melihat kepada lima tahun yang akan datang sahaja, tetapi kita juga hendaklah mengenal pasti apakah yang ingin kita capai pada 2040.

“Kita perlu mempunyai pemikiran yang kreatif, inovatif dan di luar kotak untuk menghasilkan idea bold dan radical serta membangunkan konsep yang baharu dan penyelesaian unik yang memenuhi ekosistem sosioekonomi negara,” katanya.

Hanifah berkata RMK13 merupakan dokumen pertama Kerajaan Perpaduan dalam konteks penyediaan Rancangan Malaysia Lima Tahun dan akan diselaraskan dengan konsep Malaysia MADANI termasuk Kerangka Ekonomi MADANI.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan