AM > BERITA

200 Pelajar UMS Sertai Jelajah HAWANA 2024 Bagi Zon Sabah

25/10/2024 01:49 PM

KOTA KINABALU, 25 Okt (Bernama) -- Sebanyak 200 pelajar dan pensyarah Program Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyertai Program Jelajah Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 Bersama Siswa bagi zon Sabah di sini hari ini.

Sekretariat HAWANA 2024 menerusi kenyataan memberitahu tiga sesi perkongsian ilmu yang memberi fokus kepada topik terkini dunia media seperti Kewartawanan Peranti (MoJo), Fact Check dan ceramah bertajuk "Klik Dengan Bijak" diadakan di kampus induk universiti itu di sini.

Sesi berkenaan memberi panduan kepada pelajar tentang cara menghasilkan kandungan media yang berkesan dan kepentingan menyemak fakta bagi mendapatkan maklumat sahih selain mengekang penyebaran maklumat palsu.

Menerusi program yang bertujuan meningkatkan kefahaman mahasiswa tentang kewartawanan itu, warga institusi pengajian tinggi awam diberi pendedahan secara langsung mengenai dunia media.

Sesi perkongsian daripada pengamal media berpengalaman membolehkan pelajar memahami cabaran dan peluang dalam dunia kewartawanan sekali gus menanam minat mendalam terhadap kerjaya berkenaan.

Pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja HAWANA 2024 menyampaikan sumbangan satu set komputer berkeupayaan tinggi dan sebuah televisyen pintar kepada FSSK, UMS.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Prof Dr Rosalam Sarbatly dan Ketua Pengarang Bernama merangkap Pengarah Projek HAWANA 2024 Arul Rajoo Durar Raj.

Program jelajah bersama siswa itu diadakan bersempena dengan sambutan Hari Wartawan Nasional 2024 yang melibatkan enam zon iaitu Sarawak, Sabah, Tengah, Utara, Pantai Timur dan Selatan.

Perasmian program jelajah itu disempurnakan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil di Pustaka Negeri Sarawak, Kuching pada 25 Mei lepas dan program pertama diadakan dengan kerjasama Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

HAWANA 2024 dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan Bernama sebagai agensi pelaksana.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan