AM > BERITA

PM Ethiopia Lawat Pusat ESG Kuala Lumpur

25/10/2024 08:25 PM

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) - -Perdana Menteri Ethiopia, Dr. Abiy Ahmed Ali melawat Pusat Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG) Kuala Lumpur di The Exchange TRX di sini hari ini.

Abiy, yang dalam lawatan rasmi pertama beliau ke Malaysia, tiba pada pukul 5.45 petang dan disambut oleh Presiden International Green Trends Cockpit Sdn Bhd, Ismail Abdullah.

Semasa lawatan tersebut, Abiy turut diberikan taklimat terperinci oleh Ismail mengenai objektif dan perancangan ESG Kuala Lumpur yang bertujuan mendidik penduduk bandar mengenai kehidupan lestari dan menyebarkan maklumat tentang rangka kerja ESG yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Dalam satu kenyataan semalam, Wisma Putra memaklumkan bahawa Abiy akan disambut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu upacara rasmi di Seri Perdana esok, diikuti dengan mesyuarat dua hala.

“Perbincangan antara kedua-dua pemimpin itu akan tertumpu kepada memperkukuh hubungan dua hala, terutamanya dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pertanian dan komoditi, industri halal, pembangunan mampan, kesihatan, pelancongan dan pendidikan.

“Mereka juga dijangka membincangkan isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama. Satu sidang media bersama akan diadakan selepas mesyuarat tersebut,” menurut kenyataan itu.

Abiy, yang ditemani isterinya Wanita Pertama Zinash Tayachew Bere, tiba di Malaysia pagi tadi.

Ethiopia merupakan rakan dagangan ke-26 terbesar Malaysia di benua Afrika dengan imbangan dagangan memihak kepada Malaysia pada 2023.

Nilai perdagangan dua hala antara Malaysia dan Ethiopia direkodkan RM446.8 juta dengan eksport Malaysia ke Ethiopia bernilai RM358.6 juta, mencatatkan peningkatan sebanyak 24.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan