AM > BERITA

Manfaatkan Teknologi e-Panggilan Tambah Baik Pengangkutan Awam Sabah

26/10/2024 08:10 AM

KOTA KINABALU, 25 Okt (Bernama) -- Penyedia perkhidmatan pengangkutan awam di negeri ini disaran memanfaatkan perkembangan teknologi, terutamanya aplikasi e-panggilan dalam usaha menambah baik perkhidmatan bagi kemudahan rakyat.

Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan Sabah Vivian Wong Shir Yee berkata langkah itu juga, dapat menggalakkan lebih ramai memilih pengangkutan awam memandangkan data Universiti Malaysia Sabah (UMS) mendapati, hanya kira-kira 20 peratus penduduk negeri itu menggunakannya.

“Kita juga berharap ada galakan daripada kerajaan seperti peruntukan bagi menaik taraf kemudahan pengangkutan. Dengan perkembangan teknologi, kita perlu beralih kepada jenis pengangkutan yang lebih efisien agar Sabah tidak ketinggalan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan aplikasi Kumpool Sabah di UMS di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Urusan Asia Direct Travel and Tours Sdn Bhd Imelda Ambrose Angkangon.

Kumpool satu aplikasi e-panggilan pengangkutan van, yang membantu masyarakat sekitar Kota Kinabalu mendapatkan perkhidmatan dengan kadar bayaran serendah RM3 dan dilengkapi pelbagai ciri keselamatan dan mesra pengguna.

Dalam pada itu, Wong yang juga Ahli Parlimen Sandakan dalam ucapannya ketika melancarkan aplikasi itu turut menekankan komitmen Kerajaan MADANI, untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan sosial dan pembangunan infrastruktur khususnya di negeri ini.

“Pengangkutan adalah nadi utama bagi penduduk bandar raya Kota Kinabalu untuk bekerja dan menjalankan urusan, maka  penyelesaian pengangkutan yang cekap amat diperlukan,” katanya yang turut  menekankan sistem pengangkutan efisien dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas dan pencemaran.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan