AM > BERITA

SPAN Tubuh Jawatankuasa Khas Bekalan Air Perlis

25/10/2024 09:57 PM

PUTRAJAYA, 25 Okt (Bernama) -- Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Khas Bekalan Air Negeri Perlis bagi menjamin kelangsungan dan keselamatan bekalan air di negeri itu.

SPAN dalam kenyataan hari ini memaklumkan jawatankuasa berkenaan, akan membantu Syarikat Air Perlis Sdn Bhd (SAP) mencapai sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) Pelan Perniagaan Tempoh Operasi ke-4 (OP4), yang telah dipersetujui pihaknya.

Kenyataan itu memaklumkan antara perkara yang menjadi fokus jawatankuasa khas untuk ditambah baik oleh SAP termasuk pengurangan air tidak terhasil (NRW), kualiti air terawat, margin simpanan air terawat, kesinambungan bekalan air, nisbah operasi, kompetensi dan strategi modal insan.

“SPAN sebagai badan kawal selia bagi perkhidmatan air di Semenanjung Malaysia dan Labuan memandang serius pencapaian sasaran KPI kesemua operator termasuk SAP, merangkumi tadbir urus secara menyeluruh, pengurangan kadar NRW serta keupayaan melaksanakan projek perbelanjaan infrastruktur di Perlis, bagi menjamin kelangsungan dan keselamatan bekalan air,” menurut kenyataan itu.

SPAN memaklumkan jawatankuasa khas itu akan diketuai oleh anggota SPAN dan turut melibatkan wakil Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), kerajaan negeri, SAP dan agensi utama yang berkaitan.

“Kesemua ahli yang dipilih merupakan pakar dalam industri perkhidmatan air,” menurut SPAN dalam kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan