AM > BERITA

Belia Disaran Hadapi Cabaran, Rebut Peluang Ekonomi Baru Muncul 

26/10/2024 05:58 PM

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Golongan belia perlu bersedia untuk menghadapi cabaran masa depan dan merebut peluang ekonomi baru muncul terutamanya apabila Malaysia bakal menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun depan, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul.

Johari dalam ucaptama pada Forum Ekonomi Belia (YEF) 2024 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) berkata ASEAN menawarkan peluang besar untuk pertumbuhan dan kerjasama maka belia disaran aktif menyumbang kepada kemajuan negara dengan terlibat dalam landskap ekonomi sebagai pemimpin serta usahawan.

“Amat mustahak untuk belia bersedia dari segi mental dan fizikal bahawa Malaysia akan menjadi Pengerusi ASEAN tahun depan ... kita akan memimpin 10 negara di rantau ini dan semua pihak meletakkan harapan untuk kita menjadi lebih baik berbanding yang lain maka belia harus menghargai serta memanfaatkan peluang yang ada.

“… dengan populasi seramai 680 juta di ASEAN dan menunjukkan bakal berlaku peralihan ekonomi dan inilah elemen-elemen untuk penduduk di ASEAN berkembang lebih cepat berbanding rantau lain. Gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kita yang kelima terbesar di dunia ... kita harus menyambar peluang ini menerusi mempersiapkan diri dengan ilmu, keterhubungan,” katanya.

Johari yang juga Presiden Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) ke-46 berkata belia perlu membangunkan kemahiran kepimpinan kerana mereka mewakili generasi masa depan yang bakal menerajui pembangunan negara.

Pengarah YEF 2024 Ewanina Effandie dalam ucapan alu-aluan menyifatkan pemilihan tema “A Second Economy Takeoff: Malaysia's Path to the New Economy' untuk YEF pada tahun ini bertujuan menyeru belia terlibat secara aktif dalam membentuk masa depan negara.

Beliau berkata adalah penting untuk belia memacu transformasi itu bagi memastikan pelan hala tuju dan pelaburan dapat diterjemahkan kepada pembangunan ekonomi negara dengan lebih berkesan.

“Rakyat menjadi asas kepada sebarang transformasi ekonomi dan di situ peranan setiap daripada kita. Kejayaan Malaysia dalam ekonomi baharu bergantung kepada pembangunan bakat yang bersedia untuk mendepani transformasi ekonomi. Peranan belia bukan hanya sekadar mengisi pekerjaan malah lebih daripada itu yakni membentuk seluruh industri.

“Bakat menjadi komponen terakhir yang melengkapkan ekonomi. Kerajaan mungkin boleh merangka pelan hala tuju yang cemerlang tetapi tanpa bakat sepatutnya usaha ini akan sia-sia. Individu berkemahiran mampu menterjemahkan kepada hasil yang memacu perkembangan ekonomi,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Alumni Felow Perdana (PFAA) Syed Mohamed Arif Syed Abdul dalam ucapannya menyeru belia merebut peluang dalam perubahan landskap ekonomi.

“Untuk relevan dalam sektor ekonomi baru ini, pembelajaran berterusan amat penting selain keperluan peningkatan kemahiran dan pemahiran semula namun apa yang lebih penting adalah dedikasi serta komitmen. YEF langkah pertama untuk memulakan perubahan ini,” katanya.

Di samping menghubungkan kumpulan profesional muda dengan perintis industri, YEF 2024 yang menumpukan kepada tema “A Second Economy Takeoff: Malaysia's Path to the New Economy'  turut menekankan mengenai aspirasi Malaysia untuk merebut peluang dalam sektor baru muncul termasuk ekonomi digital, ekonomi hijau, dan pembangunan bakat.

Acara anjuran PFAA dengan sokongan YTL Power, YTL Group, ia menghimpunkan lebih 1,200 delegasi termasuk profesional muda serta penuntut universiti dan kolej serta pelajar sekolah menengah.

YEF edisi kelapan ini turut menampilkan Menteri Digital Gobind Singh Deo dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Forum itu untuk menggalakkan belia terlibat dalam perbincangan berasaskan fakta bagi mentakrifkan semula landskap ekonomi Malaysia dalam usaha menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2028.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan