AM > BERITA

Lee Lam Thye Terima Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah OUM

26/10/2024 06:39 PM

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Pengerusi Alliance for A Safe Community Tan Sri Lee Lam Thye dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam bidang pendidikan oleh Open University Malaysia (OUM) pada majlis konvokesyen ke-38 di Pusat Dagangan Dunia di sini hari ini.

Beliau menerima anugerah berkenaan daripada Pro Canselor OUM Tan Sri Azman Hashim.

Lee berkata ia merupakan ijazah kehormat doktor falsafah ketujuh yang diterimanya daripada beberapa universiti awam dan swasta di Malaysia atas pelbagai sumbangan kepada negara yang menumpukan kepada perpaduan nasional, keselamatan dan kesihatan, tadbir urus sosial alam sekitar dan kebajikan masyarakat.

Dalam ucapan penerimaannya pada majlis konvokesyen itu, beliau menghargai usaha OUM, yang telah merintis pembelajaran terbuka dan jarak jauh lebih 24 tahun lepas sekali gus mewujudkan peluang kepada individu untuk mengimbangi kerja dan pengajian dengan lancar.

Beliau berkata inisiatif ini telah memperkasakan ramai rakyat Malaysia untuk mencapai matlamat akademik tanpa mengorbankan aspirasi profesional mereka, dan berharap anugerah ini akan menjadi sumber inspirasi, menggalakkan semua untuk melibatkan diri dengan masyarakat dan menyumbang kepada kebaikan.

“Bersama-sama kita boleh mencipta masa depan yang lebih cerah melalui perkhidmatan, belas kasihan dan komitmen terhadap kecemerlangan,” katanya dalam kenyataan yang diberikan kepada Bernama hari ini.

Dilahirkan pada 1946 di Ipoh, Perak, Lee menceburi bidang politik dan mewakili pengundi di Dewan Undangan Negeri Selangor, dan kemudiannya di Dewan Rakyat selama lebih 20 tahun sebelum bersara pada 1990.

Hingga kini, Lee telah menerima beberapa anugerah lain, antaranya Anugerah Belia Cemerlang Malaysia (1986) daripada Jaycees Malaysia, Anugerah Rotary Paul Harris Fellowship (1996), Anugerah Kecemerlangan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (2005), dan Anugerah Tokoh Maulidur Rasul (2019).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan